SAUDARA PENGARANG,
AKTIVITI perjudian semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk Taman Mahsuri Padang Serai, Kulim, Kedah.
Sejak kebelkangan ini, terdapat kaki judi yang tidak dikenali berulang-alik melalui kawasan perumahan untuk membeli nombor ekor di premis-premis sindiket judi.
Tindak-tanduk mereka yang mencurigakan menyebabkan penduduk tidak dapat membezakan sama ada mereka kaki judi atau perompak.
Untuk makluman, kegiatan penjualan nombor ekor haram ini sudah lama wujud di kawasan perumahan ini dengan hanya jarak 500 meter. Dianggarkan terdapat tiga premis perjudian di taman ini.
Diharap pihak berkuasa mengambil tindakan dengan kerap melakukan pemantauan di Jalan Mahsuri 7 dan Jalan Mahsuri 3. Mungkin jumlah premis itu lebih banyak daripada yang dinyatakan.
Premis perjudian ini menggunakan simbol pelekat atau iklan syarikat telekomunikasi bagi mengaburi mata penguat kuasa tetapi sebenarnya kanak-kanak di kawasan ini juga sudah boleh menghidu aktiviti haram mereka.
Persoalannya, adakah agensi penguat kuasa tidak menyedarinya? Walaupun terdapat statistik tindakan yang pernah diambil mengenai isu ini, namun ia tidak akan mengubah persepsi masyarakat.
Sebaliknya hanya akan dilihat sebagai alasan dan tidak keupayaan agensi yang diberi tanggungjawab untuk menghapuskan kegiatan haram ini.
Tolong ambil tindakan dan biarkan kami hidup tenteram.
SUBRA
Padang Serai, Kulim, Kedah