SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah mencadangkan Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan tempoh pembayaran pinjaman peribadi kakitangan kerajaan dipanjangkan dari 10 ke 20 tahun.
Lanjutan tempoh itu disifatkan boleh membantu meringankan beban ditanggung penjawat awam yang sebenarnya turut terjejas akibat penularan Covid-19.
Angkasa yang menguruskan akaun penjawat awam yang membuat pinjaman peribadi melalui koperasi berpendapat, arahan had maksimum 10 tahun yang ditetapkan BNM sejak 2014 sudah tidak relevan dengan perubahan situasi semasa.
Oleh itu, saya berpendapat saranan Angkasa kepada BNM untuk memanjangkan tempoh pembiayaan peribadi melebihi 10 tahun adalah langkah terbaik walaupun lewat sedikit.
Saya menyokong langkah ini 200 peratus dan diharapkan BNM dapat mempertimbangkan cadangan itu dengan sebaik-baiknya demi kebajikan ahli Angkasa yang sebahagian besar ialah penjawat awam.
Saya berpendapat, hasrat BNM untuk mengawal tahap keberhutangan individu dan keluarga adalah baik. Bagaimanapun, tidak dikaji impak implementasinya dengan teliti.
Ini menyebabkan individu yang dipotong gaji untuk disalurkan bayaran pinjaman melalui Angkasa berada dalam kesusahan yang bukan sedikit ekoran peluang untuk menstrukturkan gaji melalui pembiayaan peribadi dinafikan.
Sepatutnya BNM menguatkuasakan tempoh pembiayaan peribadi 10 tahun hanya kepada mereka yang tidak pernah ada fasiliti skim potongan gaji Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA) dan mereka yang sudah lama berkhidmat. Namun, sudah habis potongan pembiayaan dan ingin memohon pembiayaan baharu.
Bayangkan berapa ramai yang menghadapi kesusahan dan menjeratkan diri dengan berhutang kepada peminjam wang tidak berlesen hanya disebabkan kegagalan BNM untuk mengkaji impak langkah pelaksanaan tempoh pembiayaan peribadi kepada hanya 10 tahun.
Ibarat BNM telah menutup segala peluang kedua kepada pelanggan sedia ada untuk menstruktur gaji mereka.
AZLAN PUBM
Kuala Lumpur