Shalin Zulkifli wajar diiktiraf, dapat gelaran Datuk - Utusan Malaysia

Shalin Zulkifli wajar diiktiraf, dapat gelaran Datuk

SHALIN Zulkifli memenangi 20 pingat emas Sukan SEA, menang di Sukan Komanwel dan deretan kejohanan terbuka di dalam dan luar negara. - IHSAN KBS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA terpanggil untuk menulis di sini tentang ratu tenpin boling negara, Shalin Zulkifli, 43, yang bersara daripada sukan berkenaan pada awal bulan lalu.

Jasa Shalin dalam mengharumkan nama negara selama 28 tahun begitu banyak sekali sejak menceburi bidang itu ketika berusia sembilan tahun.

Oleh itu, sudah sampai masanya beliau dikurniakan gelaran Datuk sebagai mengenang bakti kepada negara hingga ke peringkat antarabangsa. Lihat rakan-rakan beliau dalam sukan seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David, yang telah mendapat pengiktirafan sedemikian.

Sepanjang berkecimpung dalam sukan boling, beliau pernah mendapat anugerah Pemain Boling Antarabangsa 2002, diletakkan nama di International Bowling Hall of Fame di Finland, memenangi 20 pingat emas Sukan SEA, menang di Sukan Komanwel dan deretan kejohanan terbuka di dalam dan luar negara.

Beliau turut dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali (1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002).

Pencapaian terhebatnya adalah menjuarai Kejohanan Dunia 2003 di Malaysia, 2007 di Mexico dan 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat. Keseluruhannya, beliau memenangi 74 pingat, sesuatu yang amat cemerlang.

Tidak syak lagi, beliau banyak mengharumkan nama negara kita dalam pelbagai kejohanan. Menyaksikannya bertanding, kita dapat merasakan beliau bermain dengan penuh semangat cinta akan negara dan tangisan selepas memenangi kejohanan adalah manifestasi perasaan terharu kerana telah membutirkan sesuatu yang bermakna untuk diri, pasukan dan negara.

Malang sekali, boling tidak dipertandingkan di peringkat Sukan Olimpik. Jika tidak tentu beliau dapat menyinar. Tetapi dengan menang tiga kejohanan dunia, sudah cukup membuktikan kehebatan beliau di pentas global.

Lebih jelas lagi, personaliti beliau amat terpuji dan disenangi jurulatih, pegawai pasukan, orang kenamaan malah seluruh peminat sukan. Dedikasi beliau tidak dapat disangkal lagi dalam memartabatkan sukan boling dan meletakkan Malaysia di peta dunia.

Selaku pemilik pusat boling di Damansara, Selangor, beliau tentu dapat mencurah segala pengalaman dan ilmu ke arah melahirkan lebih ramai pelapis baharu untuk negeri dan negara.

Saya bukanlah cemburu kepada mereka yang mendapat gelaran dan pangkat dari negeri dan negara, tetapi ada penerima gelaran Datuk yang memberi sumbangan tidak seberapa dan skala yang lebih kecil, tetapi sudah mendapat pengiktirafan.

Malah dua artis luar negara juga sudah dapat anugerah di negara kita, sedangkan apa sumbangan mereka kepada negeri berkenaan?

Maka sewajarnya Shalin diberi pengiktirafan oleh negeri dan negara, sebagai menghargai pengorbanan dan kejayaan beliau selama ini.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN