Sejadah - Utusan Malaysia

Sejadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerpen karya Nurimas SN

Aku terpinga-pinga juga asalnya. Masakan tidak, selalu di kiri kananku akan ada rakan menghimpit dan mendampingiku. Kadang aku di atas, kadang di bawah. Rasa panas bercampur nyaman juga sesekali apabia bertukar cuaca.
Keadaan itu akan bertambah terasa apabila ada jemaah yang bersemayam di atasku. Jika yang berbadan kurus itu boleh tahanlah juga. Tetapi kalau yang endomof, kekadang terasa juga senak perutku ketika dia menerjunkan tubuhnya.
Namun itulah peranan kami. Peranan yang kami pilih dan sukai. Kerana aku dan rakan-rakan lain telah diangkat menjawat posisi ini. Peranan yang bukan kecil dan sangat bernilai. Kami reda dan amat senang hati.
Namun sejak moratorium ini, aku jadi kurang selesa dengan keadaan relatif. Lebih-lebih lagi pada awal musim dahulu. Semacam rasa ingin tahu dan mahu memberontak pun ada dengan situasi tersebut. Bayangkan lebih tiga bulan kami tidak bekerja dan berkhidmat untuk manusia. Secara logika akal juga pasti gajiku tidak diganjar dan dicatat di dalam kartu bayaran.
Lain dengan manusia di sini, kerajaan yang prihatin memberi imbuhan dan meneruskan emolumen bulanan mereka walaupun tidak langsung menjejakkan kaki ke pejabat atau mana-mana premis pekerjaan. Tapi kami tidak diketahui statusnya. Adakah Majikanku akan memandang kami seperti sebelum pandemik. Memberi imbuhan dan gaji berterusan walaupun tidak bertugas?
Dalam hati memang itu yang aku harapkan.
Semua terkejut dan tersentak. Tubuh rampingku yang selalu dilipat, atau diletak di mana-mana ceruk masjid, kini tergantung sepi di ampaian. Kawan-kawan lain ada yang dilipat molek dan ditidurkan di kamar atau dalam almari khas. Ada juga beradu di luar beranda sepertiku. Itu normal biasa!
Yang tidak normalnya, kami berehat di situ sekian lama. Tidak diangkat oleh jemari-jemari soleh yang selalu tiba awal ke rumah Allah ini. Aku jadi rindu kepada injakan kaki yang selalu meramahi tubuh hingga kelihatan bebenang balduku mula pudar. Sakit tetapi aku amat senang dengan khidmat itu. Rindu amat.
“Jauh sikit, pastikan ada jarak satu meter.” Aku dengar Imam Rasul memberi arahan kepada beberapa pembantu. Aku mula kembali ceria apabila mendengar perkhabaran masjid akan dibuka semula. Kawanku dari Turki nampak riang dan tidak sabar mahu berbakti kembali. Sekeping lagi yang diimport dari India juga tersengih menampakkan giginya yang memutih.
Kami sudah bersedia lama untuk tarikh itu. Kami sudah amat rindu. Aku kurang bernasib baik kerana dilahirkan di Malaysia, bukan barangan import. Hargaku pun biasa-biasa sahaja. Bukan dari baldu atau jut atau fabrik yang mahal. Tapi aku tidak pernah hirau pun pasal itu. Tujuanku di sini hanya memberi khidmat sebaik termampu. Biasalah, aku hanya diletakkan di saf terakhir sahaja. Itu pun kira nasib baik kerana banyak lagi tidak tercalon mengisi saf.
Bayangkan, masjid yang mampu memuat kira-kira seribu jemaah itu hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti sepertiga sahaja. Aku dapat lihat juga lelehan air mata daripada rakan-rakanku yang tidak dapat berkhidmat itu. Aku tahu hidup dan matinya hanya untuk memberi khidmat dan patuh pada ketentuan-Nya. Macam aku juga.
“Cuma 333 orang sahaja yang dibenarkan, imam,” kata salah seorang AJK masjid usai menghampar semua sejadah. Aku nampak janggut tuan imam yang panjang berjela itu turun naik mengikut anggukan wajahnya. Aku tidak pasti berapa panjang janggut yang memutih itu. Mungkin sudah hampir sekaki. Sewindu aku berkhidmat di sini, imam itu telah ada. Dia imam tua dan paling warak dalam kalangan imam yang tiga orang itu.
“Alamdulillah, inipun sudah syukur,” katanya ringkas. Kelihatan para petugas lain mula mengambil tempat di lokasi masing-masing. Ada yang menyediakan kaunter mengambil suhu jemaah yang akan datang. Ada yang akan mendaftarkan nama dan sebagainya. Semua telah siaga untuk minggu pertama solat Jumaat di masjid tersebut setelah sekian lama tempoh PKP dikuatkuasakan.
Tiada bacaan ayat-ayat al-quran se­perti selalunya sebelum masuk waktu. Sebaliknya suasana agak sunyi, dengan jemaah yang hadir berupa wajah dan penampilan baharu. Masing-masing bertutup mulut menyebabkan mereka segan untuk bercakap-cakap. Sejadah tersandang di bahu masing-masing. Untuk apa? Hatiku berdetik.
Seorang demi seorang ahli jemaah memasuki ruang solat masjid selepas melewati saringan kesihatan. Bacaan suhu badan diambil dan dicatat, sementara tangan pula dicuci dengan sanitasi yang disediakan. Hanya satu pintu dibuka untuk jemaah masuk. Aku menunggu.
Petugas masjid mengarahkan jemaah yang dahulu sampai memenuhi saf di ruang hadapan,kecuali beberapa tempat dikhaskan untuk pegawai masjid. Lama-kelamaan bilangan jemaah kian bertambah dan mula menghampiri saf di bahagian belakang. Aku bersedia berkhidmat sebaik mungkin.
Aku lihat seorang lelaki dalam lingkungan umur 50-an terhencut-hencut masuk. Kalau tidak silap dia dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU). Petugas masjid memandu arah perjalanannya. Dan dia menuju ke arahku lalu mendarat di kakiku. Aku senyum ke arahnya tanda perkenalan. Kemudian dia ambil sejadah di bahu lalu menutup mukaku. Aku cemberut.
Gelap pandangan. Tidak dapat melihat apa-apa. Bagaimana aku hendak mengenalinya. Aku mahu kenal sebagai bukti nanti. Aku sabar juga dengan keadaan dan norma baharu itu.
Tidak mengapalah, setidak-tidaknya aku dapat juga berbakti hari ini. Teringat aku kepada rakan-rakanku yang lebih berjenama dan hebat. ‘Cantik-cantik kau pun kena tindih dengan sejadah yang jemaah bawa juga,’ omelku sendirian.
Kemudian aku dengar suara mersik dari menara luar masjid. Suara bilal melaungkan azan ala Mekah kedengaran membelah angkasa. Aku dengar pula semacam bunyi esakan daripada jemaah yang menindihku. Sekonyong-konyong bunyi esakan itu bersahutan pula dari arah depan, belakang, kanan dan kiriku. Aku? Aku sudah lama menangis tetapi tiada siapapun mendengarnya.
Mereka menangis mungkin kerana terharu dapat menunaikan solat berjemaah kembali, setelah sekian lama hak dinafikan angkara virus yang tidak kelihatan. Rasa syukur itu mengundang elusi yang menyentuh hati. Lalu menghantar elegi melalui lopak mata yang sepi.
Tetapi tangisanku lebih daripada itu. Aku sedih kerana saban kali solat lima waktu pada hari-hari sebelum PKP pun, jarang benar aku digunakan. Aku tahu sebagai sejadah klasik, aku bukan lagi pilihan utama jemaah dan petugas masjid menggunakanku.
Ya, aku sedih kerana tidak terpilih mengisi saf. Betul. Tetapi apa yang menyebabkan aku tidak terpilih itu yang lebih sadis. Bayangkan, masjid yang seluas dan seselesa ini hanya mampu dihadiri kira-kira 20 hingga 30 jemaah. Sudah pastilah hanya dua atau tiga saf dibentangkan sejadah. Dan di situlah aku tersingkir awal.
Usai juga solat Jumaat berjemaah buat kali pertama setelah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenal. Lebih ringkas dan pantas dari durasi sebenar. Aku tidak hirau akan itu. Barangkali aturan yang dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang kerajaan tetapkan. Yang pasti, aku telah kembali dapat berfungsi, tidak lagi duduk sahaja, makan gaji buta.
Tamat sahaja acara, semua jemaah seakan tergesa-gesa mahu pulang. Semacam ada benda menghambat mereka pula. Ada juga terdengar omong-omong AJK masjid yang teramat rindu akan solat berjemaah. Rindunya mereka kepada rumah Allah yang selalu dikunjungi, tiba-tiba dinafikan. Apakah salah bersolat di masjid ketika situasi sukar begini, sedangkan perintah itu tuntutan agama. Hanya bantahan sunyi.
“Kau lihat tadi ramai yang terpaksa balik semula kerana had kemasukan telah maksimum,” kata salah seorang daripada mereka merujuk kepada bilangan jemaah yang tidak sempat masuk ke masjid. Petugas terpaksa meminta mereka pulang kerana tempat untuk jemaah telah penuh. Tampak muka kecewa memayungi rona.
“Nak buat macam mana, itu aturannya. Harap-harap masa solat lima waktu nanti akan penuhlah masjid kita,” jawab yang seorang lagi. Benar, situasi pandemik itu merubah banyak amalan biasa. Kalau dahulu orang ramai gemar lepak dan memenuhi ruang legar pusat beli-belah, membuang masa dan membazir makanan, kini keadaan sudah berubah.
Orang ramai yang mahu berjual-beli pula beratur molek dan tidak berlaku sentuh-menyentuh. Sudah pasti kejadian maksiat, belia berpelesiran, memadu asmara tidak dapat diaktifkan. Semua kelihatan mematuhi adab sopan dan mulus sahaja.
“Orang sudah terlalu lama rindu akan masjid, inilah masanya mereka datang berbondiong-bondong,” ulas pula yang pertama tadi. Media massa antarabangsa telah menyiarkan beberapa video mengenai pematuhan SOP ketika jemaah menunaikan solat. Penuh masjid di Pakistan, Brunei, malah di Selatan Thailand juga. Paling syahdu apabila beberapa masjid di negara Barat dibenarkan melaungkan azan dan dikunjungi ramai jemaah. Allahu akbar!
Aku bersyukur benar dengan cerita merekat. Memang wajah AJK itu aku kenali amat. Mereka tidak pernah ponteng solat lima waktu berjemah. Pasti status mukmin yang mendapat dua kelepasan; bebas dari api neraka dan sifat munafik menjadi milik mereka. Itu mafhum hadis bagi mereka yang tidak tinggal solat berjemaah selama 40 hari dengan takbiratul ula.. Sahih!
Seluruh surau dan masjid di pemukiman ini akan memulakan solat berjemaah lima waktu mulai asar nanti. Aku dikembalikan ke tempat asal. Rak ampaian di bahagian belakang masjid. Tidak lama kemudian kelihatan dua tiga orang petugas masjid mula menyusun kembali sejadah yang dikhaskan untuk solat fardu. Susunannya sepertri solat Jumaat tadi, namun bilangannya berbeza.
Mengikut pengalaman, masjid itu hanya dikunjungi maksimum 30 orang jemaah sahaja ketika solat fardu, itupun ketika maghrib dan Isyak. Waktu-waktu lain tidak sampai pun 20 orang.
Ini mengesahkan bahawa hanya dua tiga saf yang akan diisi. Tapi memandangkan susunan dengan jarak satu meter antara setiap sejadah, memungkinkan hingga lima enam saf.
Seperti dijangka, aku tidak tercalon dalam senarai sejadah yang bakal digunakan untuk solat fardu. Walaupun nanti jemaah akan membawa sejadah sendiri, tetapi pemilihan kami sebagai petanda sudah cukup bererti. Dari rak tempat aku dimakamkan, aku lihat jemaah memasuki ruang solat. SOP yang sama ketika solat Jumaat tadi direpetasi.
Benar, seperti apa yang dikatakan oleh AJK masjid usai solat Jumaat tadi, bilangan jemaah tiba-tiba bertambah luar biasa. Jangkaan lima saf yang disediakan melepasi sasaran. Lepas seorang, seorang jemaah datang walaupun azan belum lagi berkumandang.
Pertama kali solat fardu dalam norma baharu. Petugas gigih pula menyusun sejadah tambahan sebagai tanda kedudukan jemaah. Aku bingkas menjengah kalau-kalau kesempatan itu ada untukku. Harapan tetap menjadi sebahagian daripada impian.
Hampa yang telah kuduga. Sehingga azan bergema dan terus iqamah, penantian bersinambung. Tiada solat sunat sebelum Asar dibenarkan. Urusan solat kena diusaikan secepat mungkin. Itu norma-nya. Aku jadi pemerhati para jemaah menunaikan solat. Ada yang tidak dapat menahan emosi dan menangis teresak-esak. Rindu benar mereka kepada rumah Allah kiranya.
Aku menangis juga dari dalam nurani. Menangis kerana tidak dapat berbakti. Dalam kemeriahan jemaah yang datang bertali-arus buat kali pertama setelah sekian lama, aku tetap menjadi penunggu setia. Yang menanti bila akan terus memberi jasa.
Tiba-tiba aku direnggut agak kasar. Seorang lelaki yang seakan aku kenal menarikku ketika imam telah sujud rakan pertama. Terhencot-hencot lelaki itu tanpa membawa sejadah sendiri seperti jemaah lain. Aku kaget juga awalnya.
Dia terus menghamparkanku sekira-kira tapak yang sesuai dengan kehendak SOP. Hatiku digeletek syukur. Kemudian aku lihat air mata menguncur deras di papan wajah rentanya. Hujan pun merembas turun di hatiku. Walaupun dia datang sebagai makmum masbuk, namun aku peroleh dua keberuntungan.
Pertama dapat berkhidmat kepada jemaah Asar ini. Dan kedua, dapat mengenali wajah lelaki OKU yang menggunakanku ketika solat Jumaat tadi. Situasi yang memudahkanku untuk menjadi saksi nanti. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya