SAUDARA PENGARANG,
KEINDAHAN bukit batu kapur amat jelas dilihat di Batu Caves, Kuala Lumpur. Tempat ini adalah salah satu tarikan pelancongan alam semula jadi paling popular di Malaysia.
Apabila kita menuju utara Semenanjung, kita dapat menyaksikan banyak bukit batu kapur di Perak terbentuk sepanjang puluhan ribu tahun lalu yang tersergam indah.
Bagaimanapun, di sebalik kecantikan terdapat ancaman. Berikutan tragedi tanah runtuh di tempat peranginan, Banjaran Hotsprings Retreat, Ipoh pada November lalu yang meragut nyawa dua pengunjung, seorang ahli geomorfologi mendedahkan, hujan boleh menyebabkan penghakisan batu secara semula jadi dan akan melemahkan struktur dinding batu kapur yang mengandungi banyak sambungan serta rekahan pada permukaannya.
Lokasi bukit ini terletak berdekatan jalan raya, taman perumahan dan kawasan tarikan pelancongan yang mempunyai struktur telah dibina (sama ada secara sah atau tidak sah) di dalam gua atau di kaki bukit adalah satu perkara yang merisaukan. Tambahan lagi jika struktur yang dibina mempunyai penghuni.
Tragedi Banjaran Hotsprings Retreat adalah kejutan kepada kami sekeluarga yang telah merancang untuk menginap di situ setelah sekian lama berada di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Alhamdulillah, perancangan kami terpaksa ditunda kerana dua ahli keluarga terdedah kepada pesakit Covid-19 yang disahkan positif.
Berikutan tragedi itu, saya terdetik untuk membuat penyelidikan lanjut mengenai bencana alam melibatkan bukit batu kapur. Maklumat yang saya dapat amat mengejutkan. Sekian lama pakar telah memberi amaran, bukit batu kapur di kawasan tropika kebanyakannya membentuk permukaan sisi curam akibat runtuhan semula jadi.
Proses ini dipercepatkan lagi sekiranya terdapat air hujan mengalir dalam celah rekahan yang menyebabkan pelarutan berlaku secara semula jadi. Ini akan meluaskan lagi rekahan antara batu dan akhirnya bakal mencetuskan runtuhan sama seperti ledakan gunung berapi.
Saya mendapati sepanjang beberapa tahun lalu, hampir 20 kes runtuhan bukit batu kapur dilaporkan di sekitar Ipoh. Tragedi paling dahsyat berlaku pada 1973 di Gunung Cheroh yang mengorbankan 42 orang.
Saya amat berharap insiden terbaharu di Banjaran Hotsprings Retreat akan ‘memaksa’ kerajaan Pusat dan kerajaan Perak untuk mengambil tindakan sewajarnya. Sekadar memberi arahan kepada jabatan berkenaan untuk memantau setiap bukit batu kapur yang berisiko, mungkin tidak mencukupi.
Pembinaan rumah, kuil dan struktur lain di dalam gua atau di kaki bukit sepatutnya tidak diluluskan dari awal lagi. Tindakan wajib diambil adalah mengarahkan kawasan terbabit dikosongkan. Alasan kawasan berkenaan telah diduduki selama puluhan tahun tidak boleh diterima.
Adakah kerajaan terlalu risau kehilangan ‘undi’ sekiranya tindakan tegas diambil? Sudah pasti tindakan tegas yang bakal menyelamatkan nyawa, jauh lebih penting daripada perkara-perkara lain.
ADAM MALEK
Kuala Lumpur