Runtuhan cerun ancam nyawa kami - Utusan Malaysia

Runtuhan cerun ancam nyawa kami

Keadaan cerun selepas hujan bukan sahaja mengotorkan kawasan belakang perumahan blok hujung tetapi mengundang bahaya kepada penduduk Taman Dataran Kinding SS1, Tanjung Rambutan, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KAMI, penduduk Taman Dataran Kinding SSI, Tanjung Rambutan, Perak kini dihantui kebimbangan apabila baru-baru ini berlaku runtuhan cerun berdekatan kawasan perumahan tersebut.

Projek perumahan yang mula didiami sejak setahun lalu itu mempunyai 169 buah rumah teres kos rendah setingkat berharga antara RM65,000 ke RM70,000 terletak 27 kilometer (km) dari pusat bandar raya Ipoh dan 10 km dari Chemor.

Tapak taman ini asalnya merupakan bukit yang diratakan sementara hujung blok terakhir terdapat tiang elektrik voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Baru-baru ini, kami dikejutkan dengan runtuhan cerun apabila benteng yang dibina pemaju runtuh, sekali gus membimbangkan mereka yang tinggal di blok hujung.

Selepas setahun menghuni, pergerakan jisim berlaku, tembok penahan runtuh menyebabkan tanah bukit melimpah ke belakang blok hujung dan hampir menimbus bahagian belakang beberapa rumah.

Keadaan menjadi lebih buruk ketika hujan. Larian air bawah tanah mempercepatkan pergerakan jisim menyebabkan runtuhan cerun terus berlaku.

Kami membuat laporan kepada pihak-pihak berkenaan dan mereka hanya menutup cerun bukit dengan kanvas dan meletakkan kon supaya orang ramai tidak melalui kawasan tersebut.

Namun, kami berpendapat, tindakan itu tidak selamat dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan lebih komprehensif sebagai langkah keselamatan tuntas penghuni blok terbabit.

Laporan juga dibuat kepada TNB, namun kami difahamkan ia di bawah kuasa Dewan Bandaraya Ipoh (DBI). DBI pula mendakwa ia di bawah tanggungjawab pemaju perumahan tersebut. Pada masa sama, pemaju mendakwa bukan tanggungjawab mereka.

Kami mula buntu kerana tiada tindakan susulan daripada pihak sewajarnya.

Sehubungan itu, kami merayu pihak berkuasa agar dapat membantu mengatasi masalah ini demi keselamatan dan kesejahteraan penghuni blok hujung yang mempunyai 12 unit rumah. Ini kerana wujud kemungkinan berlaku lagi tanah runtuh pada masa akan datang.

PENGHUNI BLOK HUJUNG
Taman Dataran Kinding SS1
Tanjung Rambutan, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya