SAUDARA PENGARANG,
SUSULAN pendedahan kewujudan kartel menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkusnya semula dengan meletak logo halal palsu, baru-baru ini, pihak berkuasa disaran meningkatkan penggunaan teknologi blockchain (rantaian blok) bagi mencegah kejadian berulang.
Kita menyambut baik langkah Jabatan Kastam Diraja Malaysia sejak Oktober lalu menerusi platform digital, TradeLens yang menggunakan teknologi rantaian blok bagi mengesan sebarang penipuan daripada aktiviti eksport dan import barangan di pintu masuk negara.
Ia bukanlah satu kebetulan kegiatan kartel selama bertahun-tahun itu hanya dapat dibongkar setelah TradeLens diperkenalkan.
Oleh itu, diharapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat menghubungkan pangkalan data sijil halalnya dengan TradeLens bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan secara lebih berkesan menggunakan teknologi rantaian blok.
Teknologi itu dapat memberikan jaminan yang sangat diperlukan umat Islam bahawa makanan di atas meja mereka adalah halal kerana terdapat rekod rantaian bekalan bermula dari ladang termasuk identiti petani dan penternak, kapal pengangkut, gudang dan syarikat yang terlibat dengan pengimportan.
Sebagai kesimpulan, sudah tiba masa untuk meningkatkan pendigitalan proses pensijilan halal dan pendekatan lebih baik ialah penerapan teknologi rantaian blok sebagai kaedah paling terjamin untuk memastikan integriti halal tidak dipertikaikan mana-mana pihak.
JAMARI MOHTAR & JASON LOH SEONG WEI
Penyelidik di EMIR Research