SAUDARA PENGARANG,
PERPECAHAN dalam kalangan pemimpin Melayu telah berlaku pada akhir abad ke-15 hingga ke-16 ketika zaman Kesultanan Melaka yang membawa kepada kejatuhan Melaka ke tangan Portugis.
Pada zaman moden, kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan krisis Tan Sri Muhyidin Yassin bersama Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dipecat kerana cuba mendapatkan jawapan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyebabkan UMNO berpecah sehingga tertubuhnya PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Perpecahan Melayu bukanlah penyebab utama tumbangnya Barisan Nasional (BN) sebaliknya isu seperti kepimpinan berkarisma Tun Dr. Mahathir Mohamad yang suaranya masih didengar, tuduhan skandal rasuah berkaitan IMDB, sokongan ampuh pengundi Cina serta manifesto menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) menyebabkan 10 hingga 20 peratus pengundi atas pagar memilih Pakatan Harapan (PH).
Selain itu, faktor wujud gabungan parti-parti Melayu seperti Bersatu, Pas, Amanah yang bergabung dengan PKR serta DAP yang mampu meraih hampir 90 peratus pengundi Cina adalah faktor penyumbang penting.
Dalam situasi politik semasa, keadaannya sudah jauh berbeza. ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020 yang membawa tumbangnya kerajaan PH dengan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan baharu. PN dijangka menerima kemenangan besar apabila mendapat sokongan gabungan parti-parti di Sabah dan Sarawak.
Namun, ia mungkin suatu rumusan yang agak pramatang. Kemungkinan terdapat beberapa kawasan menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang sebahagiannya akan memberi kelebihan kepada pakatan pembangkang. Ia banyak bergantung kepada kebijaksanaan dan tolak ansur pemimpin-pemimpin dalam PN.
PROF. EMERITUS DATUK DR. WAN HASHIM WAN TEH
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)