SAUDARA PENGARANG,
SAYA dan rakan-rakan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bermula 22 Februari ini memohon doa daripada rakyat Malaysia agar permudahkan urusan dalam menjawab peperiksaan ini.
Hentikanlah suara-suara yang mendesak menangguhkan peperiksaan SPM dan sebagainya kerana kami telah membuat persiapan sejak 26 bulan lalu.
Ibu bapa dan guru juga banyak berkorban untuk mengajar tidak mengira hari cuti atau waktu malam untuk berkomunikasi dan memberi latih tubi supaya kami lebih bersedia.
Google Meet, WhatsApp dan Telegram digunakan untuk kelas tambahan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan ekoran pandemik Covid-19.
Latihan dan bimbingan sejak setahun lalu memberi harapan dan semangat kepada kami untuk menduduki peperiksaan nanti.
Bagi kami, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puau Nyior Jitra, Kedah walaupun berada di luar bandar, persiapan dan usaha yang dijalankan oleh guru-guru sudah menjadikan kami sudah cukup bersedia.
Bacaan, latihan, ujian dan perbincangan semuanya telah dilakukan dan kami tidak sabar untuk berada di garisan permulaan untuk memulakan larian (peperiksaan).
Doa daripada ibu bapa, guru dan semua rakyat negara ini diperlukan bagi mengiringi kami untuk bertempur dalam peperiksaan SPM nanti.
NUR SAKINAH SAMSUDIN
Pelajar SPM 2020