SAUDARA PENGARANG,
SEJAK beberapa tahun lalu, kawasan perumahan Taman Tuanku Jaafar (TTJ) menarik minat penghuni taman itu dan penduduk berhampiran untuk membawa keluarga berjoging serta berbasikal pada awal pagi dan petang.
TTJ terletak kira-kira tujuh kilometer dari bandar Seremban dan satu kilometer dari bandar Senawang. Ia dinamakan sempena bekas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman.
Semakin hari semakin meriah di mana mereka membawa keluarga bersiar-siar kerana suasana di kawasan tersebut amat tenang, nyaman dan tidak banyak kenderaan lalu-lalang. Apatah lagi terdapat tiupan angin dingin dari arah Banjaran Titiwangsa berhampiran.
Diharap Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dapat menaik taraf dan mewujudkan kemudahan yang sesuai untuk berjoging dan berbasikal di taman itu.
Barangkali MBS dapat meluaskan bahu jalan utama, memasang papan tanda keselamatan, menyediakan kemudahan tempat berehat serta mengindahkan tanah simpanan (reserve land) di sepanjang Sungai Simin yang merentasi TTJ.
Pada 2018, Sungai Simin menjadi perhatian umum apabila airnya bertukar warna kepada biru pekat akibat sisa kilang dan diharapkan kejadian itu tidak berulang lagi.
Dengan mengisytiharkan TTJ sebagai kawasan berjoging dan berbasikal, ia dapat menjadikan taman itu popular dalam kalangan penduduk setempat untuk beriadah sekali gus menggalakkan mereka mengamalkan kehidupan sihat.
TENGKU MAN
Senawang