SAUDARA PENGARANG,
SAYA tidak teruja apabila Joe Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS). Ini bukan disebabkan oleh pandemik Covid-19 tetapi memang perasaan saya begitu. Mungkin saya sedikit teruja apabila Barack Obama menjadi presiden dahulu kerana beliau ialah presiden kulit hitam pertama dalam sejarah negara itu.
Tetapi apabila melihat tindak tanduknya pergi berperang di Libya untuk perubahan rejim, maka tindakannya tidak banyak berbeza dengan George Bush sebelumnya daripada parti Republikan yang pergi berperang di Afghanistan dan Iraq. Biar parti Demokrat atau Republikan, dasar mereka hampir sama. Ini tidak menghairankan memandangkan mereka ditaja oleh golongan sama, iaitu kapitalis kaya.
Mungkin kita lebih seronok melihat bangunan Capitol diserbu ribuan penyokong puak kanan yang pro-Trump kerana aksi tersebut dapat ‘membogelkan’ AS di hadapan mata dunia mengenai sistem dua darjat yang diamalkan oleh pasukan keselamatan negara itu apabila berdepan dengan perhimpunan orang kulit hitam dan orang kulit putih. Ia turut mendedahkan begitu rapuhnya sistem demokrasi AS yang sebelum ini dicanangkan sebagai demokrasi terulung di dunia.
Di negara ini, mungkin saya sedikit teruja apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa selepas 60 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah. Namun, keseronokan itu semakin hari semakin terhakis apabila kerajaan baharu tidak banyak membawa perubahan dasar dan amat perlahan sekali dalam melakukan pembaharuan.
Setelah melihat pentadbiran kerajaan PH selama 22 bulan yang sepatutnya membawa harapan baharu tetapi hanya memberikan harapan kosong, maka tiada apa-apa yang seronok apabila wujud pertukaran kerajaan sekali lagi.
Maka saya tidak teruja apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau mempunyai angka cukup untuk memerintah. Saya juga memang tidak teruja apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga.
Mungkin saya akan teruja dan seronok jika orang seperti ahli politik AS yang menentang golongan kapitalis kaya, Bernie Sanders menjadi Presiden AS. Ini kerana kempen pilihan raya beliau dikelola secara langsung oleh rakyat biasa dan bukan korporat.
Mungkin beliau akan membawa idea-idea baharu yang dapat membantu rakyat majoriti kaum pekerja keluar daripada belenggu kemiskinan. Namun, amat mustahil untuk individu yang tiada duit untuk menang pilihan raya kerana ia adalah pertandingan antara tauke-tauke besar. Selagi rakyat terperangkap dengan struktur demokrasi dan politik wang, politik hanyalah permainan untuk tauke-tauke yang menguasai parti tidak kira Demokrat atau Republikan.
Adakah ini bermakna perubahan tidak akan berlaku? Perubahan hanya boleh dibuat apabila wujud gelombang keradikalan rakyat yang hebat apabila sistem lama dikuburkan oleh sistem baharu.
Perubahan hanya akan terjadi apabila parti yang didukung dan ditaja oleh rakyat biasa dapat menumpaskan parti yang didukung oleh kelas kapitalis dan maha kaya.
S. ARUTCHELVAN
Timbalan Pengerusi
Parti Sosialis Malaysia (PSM