SAUDARA PENGARANG,
MEDIA cetak atau elektronik bukan hanya berperanan sebagai wadah penyampaian maklumat, sebaliknya juga sebagai ‘kuasa’ yang mendaulatkan bahasa ibunda agar dipandang tinggi bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia.
Namun, dengan perkembangan teknologi dan pelbagai aplikasi baharu diperkenalkan, media lebih cenderung mengagungkan bahasa Inggeris selain penggunaan bahasa rojak yang amat ketara.
Perkara itu amat mengecewakan penonton atau pembaca akhbar kerana media massa tidak mengangkat penggunaan bahasa Melayu secara keseluruhan.
Maklumat yang disampaikan media adalah panduan kepada masyarakat termasuk pelajar sekolah untuk mencari bahan rujukan. Namun, sekiranya media tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul, maka akan memberi kesan kepada mereka yang bakal menghadapi peperiksaan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Ini kerana media massa diibaratkan sebagai guru kepada masyarakat kerana melalui rancangan televisyen, siaran radio dan membaca akhbar akan membolehkan seseorang menguasai ilmu terutama dari segi tatabahasa dan susunan ayat.
Antara perkataan yang kerap digunakan dalam bahasa Inggeris ialah live dan episode sedangkan kedua-duanya ada dalam bahasa Melayu iaitu siaran langsung dan bersiri.
Jika berterusan begini, tidak mustahil penonton dan pembaca berasa kecewa.
Oleh itu, berubahlah dari sekarang. Jangan tunggu sehingga bahasa Melayu ‘dirojakkan’ yang akhirnya menjadi bahan jenaka dalam kalangan masyarakat luar negara.
OMAR LOLO
Kuala Lumpur