`Kurus salah, gemuk pun salah' - Utusan Malaysia

`Kurus salah, gemuk pun salah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACAM biasalah perangai manusia ini. Cantik salah, buruk pun salah. Kurus salah, gemuk pun salah. Bila dalam gambar tak cantik, dikatanya ‘tak makan gambar,’ bila cantik dikatanya kuat ‘edit’, bila kurus dikata berpenyakit dan bila gemuk disalahkan pula nasi!

Hingga kini masih heboh cerita penampilan terbaharu Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang dulunya berisi, kini langsing dan tambah cantik. Kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, dia berusaha kurus dengan mengamalkan diet sihat selain berbasikal.

Saya fikir, susahlah saya hendak kurus kalau gemuk nanti kerana sudahlah mengiggil kalau sehari tak dapat nasi, tidak pandai menunggang basikal pula. Tetapi saya tidak ambil pusing sangat pasal hendak kurus atau gemuk kerana yang penting bagi saya adalah sihat. Sihat adalah segala-galanya. Kalau tak sihat, banyak duit pun tak guna juga. Tidak boleh menikmati hidup ini. Orang kata, sihat adalah kekayaan yang sebenar. Setuju?

Saya tidak mahu mengulas panjang penampilan Rina. Saya puji semangatnya ingin kurus dan beliau telah membuktikan boleh kurus dan kelihatan hebat walaupun ramai mempertikaikan – tak akan tak makan nasi boleh kurus? Bawa basikal boleh langsing? Iyalah … cubalah dulu, jangan main komen saja.

Dan yang lebih-lebih memberi perhatian dengan penampilan cantik Rina, tentulah orang lelaki. Bukan main lagi memuji-muji dalam laman sosial, sehinggakan ada rakan-rakan sekerja lelaki di pejabat, menyarankan saya mengikut jejak Rina. Hang tak nak jadi macam Rina Harun ke? Dalam hati saya, saya ini tak cukup kurus lagi ke? Agak-agaklah, tak akan nak suruh saya jadi macam dahan pokok puding? Tahu pokok puding? Melambai-lambai di tiup angin.

Apa yang ingin saya katakan di sini, betapa perubahan penampilan seseorang boleh ‘mencuit’ orang lain. Gemuk dan kurus satu isu paling suka dibincangkan.
Pernah baca lawak dalam laman sosial? Ini ramai wanita saya tengok cukup suka memuat naik status ini. “Tidurlah, mana tahu bangun esok dah kurus.” Bagi saya, lawak ini dah banyak kali orang up, carilah lawak lain.

Apa pun ‘rahsia’ Rina boleh kurus, ia memberi inspirasi kepada ramai wanita untuk menjadi langsing. Memang pada saya, menjaga dan menyayangi diri sendiri dulu, adalah lebih utama. Tidak salah, mahu reward diri sendiri untuk berasa sihat dan bahagia. Syabas Datuk Seri Rina, semoga dengan penampilan baru ini turut memberi semangat kepada YB lebih bekerja keras dalam menangani isu-isu wanita dan memberi perhatian lebih terhadap penderaan wanita dan kanak-kanak yang makin menjadi-jadi ketika ini.

Kepada yang ingin mencuba kurus, tak salah. Yang salahnya, bila melakukannya dengan cara membahayakan diri dengan mengambil pil-pil pelangsing yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan atau mengamalkan diet yang tidak betul. Sudah banyak kali kita baca, wanita yang mengambil pil kurus, akhirnya mengalami masalah kesihatan yang lebih serius antaranya usus rosak, degupan jantung laju dan hampir meragut nyawa.

Tetapi pendedahan-pendedahan sebegini tidak langsung agaknya memberi kesan kepada wanita yang obses untuk kurus. Sementelahan pula banyak produk kurus dijual secara online yang tidak diketahui kandungan bahan-bahan yang digunakan. Main telan saja. Testimoni produk itu pun bukan main lagi. Dalam masa tak sampai seminggu sudah boleh menyarung semula kebaya yang dulunya ketat. Diletaknya gambar dahulu gemuk, sekarang kurus. Walhal dia kurus bukan sebab makan produk itu, mungkin ada sebab-sebab lain. Makan hati misalnya?

Mungkin ada produk yang memberi kesan cepat sebegitu, tetapi kita tidak tahu apa pula kesan-kesan sampingannya yang boleh menjejaskan kesihatan.

Obses kepada kurus dan kecantikan ini sebenarnya lebih banyak mengundang bahaya sekiranya tidak mendapat nasihat pakar kesihatan. Samalah juga seperti obses untuk menjadi putih, walhal tiada cacat celanya kulit yang bersawo matang atau hitam itu.

Kata seorang kawan karib saya, hidup ini biar sihat supaya kita dapat menikmati saki baki usia yang Tuhan beri ini. Dalam tempoh itu, jangan cari pasal, jangan cari penyakit. Itu saja. -MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya