SAUDARA PENGARANG,
KU Seman Ku Hussain bukanlah satu nama asing kepada pembaca Utusan Malaysia. Saya mula mengenali tulisannya apabila beliau menulis tentang perfileman tempatan, dua atau tiga dekad lalu di akhbar ini.
Kini, tulisannya dalam kolum Kata Saya meliputi lapangan yang lebih luas. Ketajamannya mengupas sesuatu isu tidak kurang hebatnya. Ya, otai masih berbisa!
Saya suka penulis yang berani calling a spade a spade (bercakap benar). Pada pandangan saya, beliau tidak suka menjadi pak turut atau yes man dalam menyajikan apa yang terkandung dalam fikirannya.
Sebagai contoh, dalam rencana bertajuk Elak diperhamba media sosial pada 15 Februari lalu, beliau menjelaskan, institusi agama juga bekerja keras untuk menjaga kebajikan orang ramai, bukan seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak di media sosial dalam bab bantuan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew di Sabah, baru baru ini.
Saya suka dan tertarik apa yang ditulis beliau sebelum menutup perbicaraan isu itu: Tamadun berdiri dengan ketinggian nilai intelektual dan budaya, empayar media sosial berdiri dengan angka-angka penyukat popular.
Hendak dinyatakan di sini, beliau tidak sama sekali cuba memperlekehkan sumbangan Ebit, jauh sekali.
Malah, beliau amat kagum dengan sumbangan pendakwah itu. Yang menjadi persoalan adalah masyarakat dewasa ini terlalu cepat ‘menghukum’ satu-satu pihak tanpa usul selidik yang lebih komprehensif dan konklusif.
KENNETH CHEW
Pulau Pinang