Kerajaan perlu bantu basmi isu pesawah miskin - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu bantu basmi isu pesawah miskin

Isu tanah bendang murah menjadi rebutan kontraktor untuk menjalankan projek perumahan di Kedah perlu perhatian serius daripada kerajaan agar nasib pesawah terbela. – GAMBAR HIASAN/ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-baru ini heboh mengenai isu tanah bendang murah menjadi rebutan kontraktor untuk menjalankan projek perumahan di Kedah. Hal ini disebabkan lebih daripada 35,000 hektar tanah bendang di negeri jelapang padi itu dilaporkan ditebus guna untuk dijadikan kawasan pembangunan komersial dan perumahan.

Berdasarkan laporan tersebut, pihak pemaju lebih gemar membina rumah di kawasan tanah berstatus pertanian khususnya bendang disebabkan harganya lebih murah.

Bagaimanapun, keadaan ini memberi ancaman kepada tahap keselamatan makanan negara. Ini kerana Kedah merupakan pengeluar terbesar padi untuk menghasilkan beras yang merupakan sumber makanan asasi utama di negara ini.

Sebanyak 74 peratus hasil pengeluaran beras negara datang dari Kedah dan Perlis. Jika dihitung daripada keseluruhan pengeluaran beras negara, ia hanya dapat menampung 67 peratus keperluan rakyat.

Jika kawasan sawah berkurang, ia menyebabkan pertambahan beras import bagi tujuan menampung bekalan makanan. Hal ini akan menyebabkan kadar kecukupan diri bagi sektor pengeluaran beras terus menurun pada kadar 60 hingga 70 peratus.

Faktor ekonomi masyarakat di kawasan sawah padi juga menjadi salah satu faktor kenapa perkara ini berlaku. Isu jual tanah bendang yang diwarisi, hasil padi tidak menentu dan kos pengeluaran meningkat menjadikan pesawah mengambil jalan mudah dengan menjual tanah sawah mereka dan menggantikannya dengan tanah baharu di kawasan desa yang mana harganya lebih murah.

Hasil jualan digunakan bagi tujuan menampung kehidupan, pengajian anak dan perubatan.

Justeru, kebajikan pesawah khususnya dalam kalangan B40 mestilah dibincang secara tuntas meliputi harga sewa tanah sawah yang semakin jatuh dan tekanan ekonomi.

Sekiranya kehidupan mereka ditambah baik dan disokong dengan undang-undang yang mengawal tebus guna tanah pertanian sawah yang lebih tegas, masalah ini akan dapat diatasi demi kelangsungan jaminan makanan masa depan negara.

Kerajaan Persekutuan diharapkan dapat memberi sokongan dalam bentuk insentif tunai kepada kerajaan negeri dalam menjayakan agenda mengekalkan sawah padi di Kedah untuk kelangsungan makanan negara melalui Pelan Pembangunan Kedah 2035.

Melalui insentif ini, ia dapat membantu kerajaan negeri dalam membangunkan sektor ekonomi baharu bagi tujuan meningkatkan pendapatan rakyat termasuk golongan pesawah bagi memacu pertumbuhan ekonomi Kedah yang kini antara terkebelakang jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

MOHD. FAISAL MUSTAFFA
Pengarah Pusat Kajian Kemiskinan
dan Pembangunan Asnaf Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya