SAUDARA PENGARANG,
AKTA Pencen 1980 yang dipinda pada 2011 antaranya memberi kenaikan tahunan sebanyak dua peratus secara purata tanpa mengambil kira jumlah diterima.
Sebelum ini, tiada sebarang kenaikan tahunan dan kadar pencen bermula dari bulan pertama adalah statik sehinggalah pesara tidak lagi layak menerimanya.
Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) merupakan badan atau agensi kerajaan yang menguruskan wang pencen kepada pesara dengan mempunyai simpanan dan tabungan tersendiri untuk membayar pencen.
Pada masa ini terdapat kira-kira 700,000 pesara kerajaan di seluruh negara dengan jumlah bayaran pencen dianggarkan RM700 juta sebulan. Ini bermakna pada setiap ketika terdapat pesara baharu dan pesara yang dihentikan bayaran pencen kerana meninggal dunia tanpa waris atau sebab lain mengikut peruntukan akta.
Selepas 10 tahun pindaan ini dan berdasarkan kepada kekukuhan wang tabungan KWAP dan jumlah pesara yang tidak begitu besar, maka dicadangkan agar kadar kenaikan pencen tahunan dinaikan kepada lima peratus setiap tahun kepada pesara Gred 56 setaraf dan ke bawah serta empat peratus setahun kepada pesara Gred C Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) setaraf dan ke atas.
Gred 56 ke bawah adalah golongan paling ramai mewakili lebih 75 peratus. Dari jumlah tersebut, kemungkinan 60 peratus terdiri daripada golongan B40. Bagaimanapun, jumlah tersebut adalah andaian, justeru KWAP diminta membuat kajian dan bancian selari dengan cabaran pendemik Covid-19.
Sekiranya kadar kenaikan pencen tahunan tidak dapat dipertimbangkan, lebih baik kiranya KWAP memberi Bonus Keuntungan Pelaburan secara purata sebanyak RM500 seorang pada setiap tahun memandangkan mereka tidak mempunyai jumlah wang tabung persendirian dalam KWAP.
Cadang tersebut selepas mengambil kira simpanan tunai dan ekuiti dan saham yang agak kukuh, keuntungan tahunan KWAP yang mencukupi untuk menampung kenaikan dan bonus tahunan pesara.
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur