SAUDARA PENGARANG,
MENURUT kajian Transparency International untuk 2019, dua pertiga negara di dunia mengalami kegagalan dalam usaha pencegahan rasuah. Empat negara dalam kumpulan tujuh negara maju (G7) pula mencatatkan penurunan dalam indeks rasuah tersebut.
Laporan itu turut menyatakan, lebih daripada dua pertiga negara dunia termasuk banyak negara maju mengalami kemunculan tanda-tanda penurunan dalam usaha membanteras rasuah.
Realitinya, gejala rasuah bukanlah khusus untuk masyarakat atau negara tertentu, bahkan ia fenomena global yang dialami oleh semua negara.
Di Malaysia, kerajaan seharusnya memandang isu ini sebagai perkara utama yang perlu dibanteras tidak kira masa. Rasuah di Malaysia semakin parah dan menjadi sebahagian ekosistem. Untuk itu, peperangan menentang jenayah tidak bermoral perlu dimulakan dari peringkat akar umbi.
Perlakuan penyalahgunaan kedudukan untuk memperoleh atau memberi kelebihan bagi mencapai keuntungan serta perbuatan menggunakan pengaruh material bagi memangsakan orang lain perlu dikecam secara konsisten agar permasalahan itu tidak terus merebak dan membarah.
Satu sistem pemantauan berkesan dan bebas perlu diwujudkan bagi mengesan perlakuan rasuah yang dilakukan oleh menteri, ahli politik, penjawat awam, pekerja swasta dan orang ramai.
Memang bukan tugas mudah, namun ia sewajarnya terus diperjuangkan agar jenayah berat ini tidak lagi berleluasa di negara kita.
ATRIZA UMAR
Pertubuhan Ikram Malaysia