Kawan dan `harga kawan-kawan' - Utusan Malaysia

Kawan dan `harga kawan-kawan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“TAK ada harga kawan-kawan ke? Janganlah berkira sangatlah. Jual murah-murah sudah.”
Tersengih kawan yang mendengar itu. Tak tahu, sengih suka atau serba salah. Mungkin dalam hati berkira-kira berapa untung yang dia dapat, jika jual dengan harga diminta kawannya itu.
“Tak apalah, aku jual harga kawan-kawan. Kau punya pasal,’’ katanya.
Ketawa besar yang meminta harga murah itu. Suka sangat dia.
Saya agak, kalau ada dua orang lagi kawan macam ini, si penjual boleh `bungkus’. Lebih baik kerja makan gaji. Tapi senangkah dapat pekerjaan tetap ketika ini?
Perbualan dari meja makan sebelah saya itu, saya curi dengar ketika menunggu pesanan makanan sampai.
Saya tidak pasti apa yang dijualnya. Cuma lelaki yang menjual itu, menunjukkan sesuatu dalam telefon pintarnya.
Perbualan macam ini memang sudah biasa kita dengar bila kawan-kawan berniaga. Agaknya baru saja kawan tersebut hendak belajar memulakan bisnes, sudah minta diskaun.
Lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh negara. Ramai yang hilang kerja atau pendapatan terjejas. Bagi kebanyakan orang, berniaga adalah satu-satunya difikirkan ‘talian hayat’ untuk hidup ketika ini, selain pemandu e-hailing.
Kalau ada wang simpanan pun, ibarat bukit jika hari-hari ditarah boleh jadi rata. Semua orang kena bekerja. Itu hakikatnya.
Bermula April tahun lalu, dikatakan jumlah usahawan online meningkat ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama. Saya tidak pasti sama ada usahawan ini masih boleh bertahan sehingga kini sekiranya terus melayan ‘harga kawan-kawan ini.’
Pernahkah yang meminta harga kawan-kawan itu terfikir, keuntungan yang sedikit itulah kawannya itu akan beli susu, lampin dan makanan untuk anak-anaknya? Atau wang itu mahu membayar duit rumah, air, elektrik dan bil-bil lain. Ada juga menggunakan wang itu untuk kos rawatan penyakit ahli keluarga.
Pembeli ini biasalah, kalau boleh `tekan harga’ murah, 10 sen pun dia berkira. Senang cakap kalau boleh hendak percuma. Tapi macam biasalah mereka mendakwa kononnya beri semangat kepada kawan-kawan berniaga. Menyokong 100 peratus. Bila diminta tolong sokong dengan membeli, dia minta diskaun dengan harga tak masuk akal pula.
Ini mengingatkan juga tentang cerita kawan lama saya yang kehilangan kerja sejak tahun lalu. Dia memberitahu, terpaksa berniaga produk kecantikan secara online. Pada masa sama, dia juga mengusahakan membuat sendiri sambal belacan dan cili kisar. Ia dijual dengan menghantarnya dari rumah ke rumah. Tak pernah dia terfikir akan berniaga secara itu. Sebelum diberhentikan kerja, dia tak pernah berniaga dan jarang pula memasak. Tetapi bila hilang kerja, hanya berniaga sajalah yang boleh dilakukan memandangkan sukar mendapat pekerjaan lain kerana faktor usia.
“Sampai pijar-pijar tangan buat cili boh dan sambal belacan. Kaki pun tak berapa kuat berdiri. Kawan-kawan seronok minta diskaun. Sedangkan kos menghantar pun aku tanggung,’’ jelasnya.
Katanya lagi, ada pula yang mempertikai bahan memasak yang dijualnya itu murah di tempat lain. Kalau beli dengan orang lain, lagi untung.
Tak kasihankah dengan kawan yang tiada pekerjaan tetap itu? Kata mahu beri sokongan. Itu belum masuk yang mahu bayar secara ansuran. Walhal mampu saja bayar tunai.
Kadang-kadang yang minta diskaun ini boleh berbelanja mewah membeli barang berjenama, berkereta mewah dan makan di restoran yang mahal tetapi bila beli barang yang dijual oleh orang yang dikenali, dia minta diskaun pula. Sejenis penyakit juga ini.  – Ahad dah ke? Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya