Kaji semula sejarah Gopeng - Utusan Malaysia

Kaji semula sejarah Gopeng

PENDUDUK Gopeng berkumpul dalam satu majlis pada 1892.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJARAH pekan Gopeng yang terletak di daerah Kampar, Perak, perlu dikaji semula oleh pengkaji sejarah kerana terdapat dua versi bermulanya penempatan di situ.

Mengikut versi pertama, perkataan Gopeng adalah nama individu yang terkenal di kawasan tersebut sewaktu aktiviti perlombongan bijih timah sedang giat dijalankan, iaitu Goh Peng.

Goh Peng ialah seorang pelombong dari China yang datang ke Tanah Melayu berikutan kes kebuluran dan banjir besar di negara itu pada satu ketika dahulu. Di Gopeng, dia banyak menabur jasa kepada masyarakat Cina sehingga namanya dikenali ramai.

Namun, ada versi kedua yang sebenarnya mempunyai alasan kukuh. Nama Gopeng ini diambil sempena keadaan buah pulai yang kebanyakan boleh ditemui dalam bentuk gepeng.

Perkataan gepeng membawa makna pipih atau penyek. Keadaan itu menyebabkan kawasan berkenaan dinamakan sebagai Gopeng.

Pokok pulai (alstonia scholaris) dan buahnya mudah didapati sekitar Gopeng. Ia banyak digunakan untuk tujuan perubatan. Jumlah pokok itu yang banyak di situ menyebabkan ada kawasan berdekatan dinamakan Simpang Pulai.

Kampung-kampung dan kawasan perumahan dalam daerah sama kebanyakannya mempunyai nama unik seperti Kampung Tersusun, Kampung Pulai, Kampung Lawan Kuda, Kampung Chulek, Kampung Sungei Itek, Kampung Pintu Padang, Kampung Tersusun Gopeng, Kampung Jahang, Kampung Rawa, Kampung Gunung Mesah Hulu, Kampung Gunung Mesah Hilir, Kampung Gunung Panjang dan Kampung Jelintoh.

Kampung-kampung ini menjadi semakin pesat di bawah pimpinan tokoh-tokoh seperti Haji Hassan, Haji Tahir Kaya, Haji Yusof Kaya, Haji Shahbuddin Bomoh dan Haji Osman yang memajukan penempatan setelah Imam Perang Ja Barumun memperkenalkan sistem Tali Air Imam Perang dan tobat (kolam air) yang sumber airnya daripada empangan di Ulu Kampar.

Sebelum wujudnya nama Gopeng, kawasan itu lebih dikenali sebagai Gunung Mesah. Kawasan tersebut cukup kaya dengan hasil bumi iaitu bijih timah. Perusahaan bijih timah diusahakan oleh pelombong dari suku Mandailing, Rawa dan Melayu di bawah pimpinan Ja Barumun.

Kawasan ini yang mempunyai hasil bumi cukup lumayan telah menarik kemasukan orang Cina untuk bekerja dan menjadi penduduk di situ.

Antara mereka ialah Eu Tong Sen yang akhirnya menjadi pengusaha bijih timah berjaya dengan meneruskan legasi rakannya, Ja Barumun setelah kematiannya pada 17 Januari 1903.

FRED RIZAL HISTOURISM
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya