Jangan ‘merengek’, ramai lagi yang terjejas teruk - Utusan Malaysia

Jangan ‘merengek’, ramai lagi yang terjejas teruk

KONSEP bersyukur dan prihatin perlu ada pada setiap kepimpinan kesatuan sekerja. – IHSAN CUEPACS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini media massa melaporkan, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak berpuas hati dengan surat pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa 1 Januari lalu yang melarang kakitangan kerajaan membuat tuntutan atas penggunaan telefon dan data internet apabila bekerja dari rumah (BDR) susulan pandemik Covid-19.

Surat pekeliling itu juga mengarahkan kakitangan awam memastikan telefon bimbit dan komputer untuk tujuan kerja diasingkan daripada penggunaan peribadi bagi memastikan tiada ‘kebocoran’ maklumat atau rahsia kerajaan.

Pada hemat saya, CUEPACS tidak wajar berpendirian sedemikian kerana kebajikan penjawat awam sentiasa dijaga oleh kerajaan termasuk dari segi laluan kerjaya seperti kenaikan pangkat, gaji, elaun serta kemudahan-kemudahan lain.

Kerajaan juga memberikan waktu kerja fleksibel di mana arahan BDR dan penggiliran bertugas di pejabat dilaksanakan bersama mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Namun, kesemua arahan BDR perlu mendapat kelulusan daripada ketua jabatan masing-masing.

Pada masa ini, pengorbanan penjawat awam amat ditagih dalam melaksanakan tugas di pejabat ataupun di rumah. Tidak perlulah berkira semasa menggunakan kemudahan sendiri kerana pada masa ini perlu ada situasi menang-menang dalam melaksanakan sesuatu arahan. Pada masa sama, niatkan keikhlasan kita bekerja sebagai satu ibadah yang sudah pasti ada ganjaran.

Kalau diikutkan, sumber pendapatan kakitangan di sektor awam kurang terjejas dan gaji mereka masih lagi dibayar oleh kerajaan. Mereka tidak perlu risau gaji dipotong atau dibuang kerja berbanding rakan-rakan lain di sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

Secara umumnya, rakyat sudah faham dengan tuntutan CUEPACS yang setiap tahun hanya tahu ‘merengek’ dinaikkan gaji dan elaun sahaja. Berita perasaan tidak puas hati itu sudah tentu kurang enak didengar oleh rakyat yang ramai dalam kalangan mereka terjejas teruk dengan pandemik berkenaan dan terpaksa berhempas-pulas untuk meneruskan hidup.

CUEPACS perlu idealistik, realistik dan berhemah dalam melontarkan pandangan di mata umum. Konsep bersyukur dan prihatin perlu ada pada setiap kepimpinan kesatuan itu dalam menaikkan semangat penjawat awam terutama bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

Ketika ini, kita mengharapkan CUEPACS boleh menyuntik semangat penjawat awam supaya dapat meningkatkan produktiviti, integriti dan motivasi kerja yang tinggi. Selain itu, sentiasa memperkenalkan kaedah kerja baharu yang lebih efisien dan mengikut arus perkembangan semasa. Sepatutnya perkara sebegini yang perlu sentiasa
diuar-uarkan.

Akhir kata, semua pihak perlu berganding bahu dengan pengalaman, kemampuan dan kemahiran sedia ada untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti dan efisien kepada rakyat dan negara.

Dalam pada itu, saya berpendapat, imej perkhidmatan awam pada waktu sekarang berada pada tahap membanggakan apabila operasi jabatan dan agensi kerajaan berjalan seperti biasa ketika pandemik Covid 19 melanda negara ini.

DD
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya