Jadikan STEM lebih kreatif, seronok - Utusan Malaysia

Jadikan STEM lebih kreatif, seronok

Aktiviti amali dalam projek STEM akan membuatkan pelajar semakin seronok untuk mengetahui lebih mendalam tentang sesuatu konsep sains. – IHSAN PLANETARIUM NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PANDEMIK Covid-19 menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran perlu dibuat secara dalam talian dengan guru memberikan nota, video dan latihan setiap hari menerusi aplikasi seperti Google Classroom.

Malangnya, kaedah sedemikian seolah-olah hanya menggalakkan pelajar melakukan latih tubi untuk menghafal sesuatu konsep pembelajaran. Pelajar diberikan banyak latihan agar mereka tidak ketinggalan, namun sebenarnya proses pembelajaran yang bermakna tidak berlaku.

Keadaan menjadi lebih kritikal bagi mata pelajaran aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) iaitu Sains, Kimia, Fizik, Biologi dan Matematik. Sekiranya kaedah yang sama dipraktikkan oleh guru STEM, pelajar di rumah hanya menghafal konsep yang diberikan menerusi latihan yang diberikan. Sudah pastinya mereka tidak berupaya mengaplikasikannya dalam kehidupan atau permasalahan sebenar. Matlamat pelaksanaan pendekatan STEM untuk melahirkan pelajar yang berdaya kreatif dan kritikal pasti sukar direalisasikan.

Walaupun ketika ini proses pembelajaran secara bersemuka tidak boleh dilaksanakan, namun tidak bermakna proses pembelajaran secara latih tubi sahaja pilihan yang perlu guru aplikasikan.

Proses pembelajaran bermakna dan berkesan masih boleh dilaksanakan. Guru perlu lebih kreatif dengan memberikan tugasan berbentuk projek STEM yang hanya memerlukan kepada bahan-bahan tersedia di rumah atau barangan terpakai. Ia penting untuk meningkatkan kefahaman pelajar di samping menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.

Dalam proses menyiapkan projek inilah kefahaman dipertingkatkan, konsep STEM dipelajari dan kreativiti berkembang. Pada masa sama boleh melakukannya bersama ibu bapa dan ahli keluarga bagi meningkatkan keseronokan kepada anak-anak dalam pembelajaran mereka.

Aktiviti hands-on (praktikal) dalam projek STEM juga dapat meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah, membantu pelajar mengaplikasikan konsep yang dipelajari terhadap permasalahan sebenar, membina ketekunan dan keyakinan diri serta paling penting, mereka semakin seronok untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang sesuatu konsep.

Guru boleh meminta pelajar merakamkan video hasil eksplorasi yang dijalankan. Pelajar juga diminta memberikan penjelasan hasil daripada aktiviti tersebut.

Ia mendidik pelajar untuk berkomunikasi dengan berkesan menerusi persembahan laporan refleksi terhadap projek STEM yang dilaksanakan.

Selain video, guru juga boleh meminta pelajar menghasilkan jurnal refleksi yang menceritakan dari awal hinggalah akhir pelaksanaan projek STEM tersebut disertai lakaran rajah bersesuaian, gambar projek dan boleh juga menghasilkan komik bergambar bagi menceritakan pelaksanaan projek STEM terbabit.

Ketika ini, guru berperanan memberikan maklum balas positif yang dapat membantu pelajar untuk memperbaiki kelemahan diri dan seterusnya bersemangat mahu melaksanakan projek seterusnya.

DR. NOR HASNIZA IBRAHIM & PROF. MADYA DR. JOHARI SURIF
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya