SAUDARA PENGARANG,
SEJUJURNYA sebagai anak muda yang baru berjinak dalam dunia politik, saya agak kesal dengan senario politik negara yang meriah dengan pelbagai sandiwara.
Baru-baru ini, pembangkang membuat kenyataan tidak mendapat peruntukan sama seperti kerajaan walhal ketika berkuasa, mereka juga gagal berlaku adil pada pembangkang.
Isu ini pernah diutarakan oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang menyatakan, apa yang berlaku hari ini terjadi kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri gagal memperbetulkan keadaan.
Sebagai anak muda dari parti pembangkang, saya berpendapat, kenyataan Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar ada betulnya. Jika dahulu kerajaan PH melakukan hal sama, perkara ini tidak sepatutnya diperdendangkan lagi.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyatakan beliau tidak mendapat walau satu sen pun peruntukan berbanding Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat RM100,000 manakala ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) lain mendapat lebih daripada itu.
Sejujurnya, saya melihat politik balas dendam begitu membarah dalam sistem politik kita dan perkara itu perlu dihentikan. Saya menyeru anak muda merentasi parti, belajarlah daripada kesilapan senior politik negara dan tidak melakukan hal sama.
Jika hal ini berlanjutan, rakyat akan muak dan melihat semua pihak sama sahaja. Kita perlu menunjukkan politik matang, bukan politik toksik dan balas dendam seperti ini jika ingin maju ke hadapan.
YUSLAINI AZMI
Ketua Srikandi PKR Terengganu