Gajet, internet ganti pensel, pemadam - Utusan Malaysia

Gajet, internet ganti pensel, pemadam

Ibu bapa berkunjung ke Digital Mall Petaling Jaya bagi mendapatkan komputer riba untuk kegunaan anak masing-masing bagi sesi Pembelajaran dan Pengajian di Rumah (PdPR), baru-baru ini. – Utusan/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JIKA sesi pembukaan persekolahan pada suatu ketika dahulu memperlihatkan kesibukan ibu bapa mencari kelengkapan sekolah anak berbentuk alat tulis, pakaian, kasut buku dan lencana sekolah, namun siapa sangka bermula tahun lalu, keadaan itu berubah sama sekali.

Jika dahulu program Back To School sebagai langkah menarik pelanggan atau membantu mereka yang memerlukan, kini peralatan alat tulis serta pakaian dan kasut tidak diperlukan lagi.

Realitinya, jauh lebih penting pada zaman sekarang adalah alat memudah cara pendidikan yang lebih canggih seperti capaian internet dan gajet. Peralatan ini sudah boleh dianggap keperluan asas dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Siapa sangka, alat-alat yang sebelum ini digunakan oleh pelajar untuk permainan video atau sekadar melayan media sosial, sekarang berperanan sebagai kelas, buku, pen, pensel dan buku nota.

Perkara ini ternyata lebih ketara dan bertambah penting apabila pandemik Covid-19 menyerang dunia sehingga memaksa Kementerian Pendidikan menganjurkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Namun timbul persoalan, adakah semua ibu bapa mampu untuk menyediakan capaian internet dan gajet mencukupi serta memastikan anak mereka mendapat pendidikan baik semasa proses PdPR?

Sudah tentu bagi golongan kurang berkemampuan, ini merupakan cabaran terbesar kepada mereka, khususnya di kawasan pedalaman bagi memastikan PdPR berjalan lancar.

Bagi ibu bapa yang bekerja, sudah pastinya perlu bijak membahagi masa antara kerjaya dan pembelajaran anak di rumah. Malah terdapat mereka yang terpaksa bekerja dari rumah yang perlu menggunakan gajet dan capaian internet serentak dengan masa persekolahan. Sekiranya hanya ada satu atau dua sahaja gajet di rumah, bagaimana pula situasi ini boleh diatasi?

Justeru, ramai ibu bapa mengharapkan Kementerian Pendidikan dapat menyediakan satu mekanisme dalam memastikan pelajar dapat terus menimba ilmu walaupun dari rumah.

Antara cadangan yang diutarakan oleh ibu bapa di media sosial adalah pemerkasaan televisyen pendidikan dan penggunaan media sosial untuk proses PdP seperti Facebook Live, Facebook Group dan Youtube Channel.

Selain itu, terdapat juga cadangan agar kerajaan memberi pelbagai inisiatif tambahan kepada pelajar seperti pemberian notebook atau komputer riba percuma dan pelan data yang jauh lebih murah serta berbaloi.

Tiada siapa perlu dipersalahkan dalam keadaan ini, sekiranya wujud kelompongan. Maka semua pihak perlu membantu agar jalan terbaik dapat dicapai demi kelangsungan pendidikan di negara ini.

SARFARIZMAL MD. SAAD
Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya