Elak tragedi Kimya berulang - Utusan Malaysia

Elak tragedi Kimya berulang

WANITA Turki berhimpun bagi meraikan Hari Wanita Antarabangsa 2018 di Diyarbakir. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BARU-BARU ini, sebuah akhbar menyiarkan keluhan seorang wanita muda di negara ini yang diberhentikan kerja oleh syarikat tempatnya bertugas yang mengalami kerugian akibat Covid-19.

Malangnya, untuk menyelesaikan masalah terpaksa menanggung seorang lagi anak mereka, ibu bapa mengambil jalan mudah dengan memaksanya berkahwin dengan lelaki pilihan hati mereka.

Saya tidak pasti sama ada ini kes terpencil atau tidak kerana belum ada mana-mana pihak yang mengumpul perangkaan jumlah wanita muda yang dipaksa kahwin ketika Covid-19 ini.

Bagaimanapun, jika dilihat anggaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Girls Not Brides, jumlah itu dijangka meningkat.

Dalam kenyataan pada September lalu, NGO terbabit memaklumkan puluhan ribu kanak-kanak perempuan di seluruh Asia dipaksa berkahwin oleh keluarga yang terdesak akibat kemiskinan kesan pandemik Covid-19.

Menurut pertubuhan berkenaan, perkahwinan kanak-kanak dilaporkan berlaku di Indonesia, India, Pakistan dan Vietnam. Pertubuhan Save The Children pula memberi amaran, perkahwinan paksa khususnya membabitkan golongan bawah umur akan menjadi ancaman lebih teruk berbanding virus itu sendiri.

Di Malaysia, umur minimum perkahwinan perempuan ialah tidak kurang daripada 16 tahun, manakala 18 tahun bagi seorang lelaki. Bagaimanapun, perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur bawah 16 tahun dibenarkan jika mendapat kebenaran bertulis daripada Hakim Mahkamah Syariah.

KIMYA KHATUN

Apabila membicarakan isu ini, yang terlintas dalam fikiran adalah tragedi yang menimpa gadis Turki berusia 12 tahun bernama Kimya Khatun. Saya yakin majoriti dalam kalangan kita tidak mengenalinya kerana nama itu sengaja dihilangkan oleh ahli akademik daripada rekod sejarah.

Perkara itu didedahkan pengkaji sejarah kehidupan ahli sufi kelahiran Iran, Shahram Shiva dalam buku bertajuk Rumi’s Untold Story: From 30-Year Research yang diterbitkan pada 2018.

Menurut beliau, Kimya ialah anak tiri ahli sufi abad ke-13, Jalaluddin Rumi hasil perkahwinan terdahulu isteri kedua beliau, Kerra Khatun.

Kehidupan Kimya adalah seperti kanak-kanak daripada golongan kaya lain yang dididik dengan penuh adab, cuma yang menjadi isu setelah dia dipaksa berkahwin dengan guru Rumi yang juga seorang ahli mistik, Shams Tabrizi yang layak dipanggil sebagai datuk.

Shams ialah gelandangan yang miskin dan antisosial. Beliau hanya berminat berbicara soal metafizik dan mendakwa telah menemui hakikat kewujudan Tuhan.

Kisah Kimya tidak banyak didedahkan kerana dikatakan boleh mencalarkan imej Rumi (1207-1273), mufti berketurunan Parsi yang mempunyai hubungan keluarga dengan kerabat diraja yang dilahirkan di Wilayah Balkh, Afghanistan dan kemudiannya menetap dan meninggal dunia di Konya, Turki.

Puisi-puisi Rumi yang telah terjual sebanyak dua bilion naskhah dan diterjemahkan ke dalam 23 bahasa adalah paling banyak dipetik di Amerika Syarikat (AS) termasuk oleh saluran berita CNN. Banyak artis Hollywood yang sering memetik puisi Rumi seperti Madonna dan Demi Moore.

Walaupun terdapat novel dan filem yang diterbitkan mengenai kisah hidup Kimya, Shahram mendedahkan, kebanyakannya menceritakan kehidupan bahagia sedangkan dari segi realiti adalah sebaliknya.

SEKULAR

Kimya mempunyai hubungan cinta dengan anak bongsu Rumi, Ala al-Din Muhammad dan mereka bercadang untuk berkahwin. Malangnya, dia dipaksa berkawin dengan Shams yang berusia dalam lingkungan 60-an.

Setelah berkahwin, Shams mengawal segala pergerakan Kimya dan memaksanya berkurung dalam rumah dan dikenakan hukuman jika melakukan kesilapan kecil seperti pergi ke taman awam bersama-sama ibunya.

Sikap Shams dan tindakan Rumi terhadap Kimya mendedahkan realiti individu yang mendakwa telah menemui hakikat kewujudan Tuhan dan mencapai tahap ascension (peningkatan diri) iaitu mereka masih sarat dengan sifat manusia biasa yang banyak melakukan kesilapan.

Kimya meninggal dunia beberapa bulan selepas pernikahannya kerana mengalami masalah kemurungan. Menurut versi rasmi, Shams yang sangat sedih dikatakan menghilang diri dan tiada siapa yang tahu nasibnya selepas itu.

Menurut Shahram, Shams sebenarnya tidak menghilangkan diri sebaliknya menjadi mangsa pembunuhan kerana maruah (honour killing) yang dilakukan oleh Ala al-Din dan rakan-rakannya.
Perbuatan itu bukan sesuatu yang pelik. Dari 2003 hingga 2007, sebanyak 739 pembunuhan kerana maruah direkodkan di Turki.

Kes itu sengaja ditutup termasuk daripada pengetahuan Rumi sendiri kerana seluruh penduduk wilayah itu marah dengan perbuatan Shams ‘mendera’ Kimya yang seolah-olah direstui Rumi dan mahu kedua-dua mereka menanggung balasan.

Adakah kemarahan penduduk di wilayah yang dikenali sebagai pusat kerohanian Turki kira-kira 773 tahun lalu menjadi ‘benih’ yang mencetuskan kebangkitan pejuang hak wanita dan golongan sekular di negara terbabit selepas itu? Wallahuaklam.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya