Cuka kayu kelapa sawit boleh bunuh bakteria - Utusan Malaysia

Cuka kayu kelapa sawit boleh bunuh bakteria

PEGAWAI Penyelidik Kanan UTM, Maizatulakmal Yahayu menguji keberkesanan cuka kayu bagi mengatasi serangan anai-anai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

negara menghasilkan 112 juta tan tandan kelapa sawit pada 2019. Daripada setiap tan minyak sawit yang dihasilkan, empat tan sisa biojisim kelapa sawit (SBKW) akan terhasil.

Antara pendekatan biasa bagi pengurusan SBKW termasuk teknik pengambusan tanah, pengkomposan, penukaran kepada baja, bahan asas bagi penghasilan bahan bakar serta digunakan sebagai makanan haiwan dan terbaharu, teknik pirolisis.

Pirolisis ialah proses pemanasan bagi tujuan penguraian bahan organik yang terdapat dalam sisa biojisim dan dijalankan pada suhu tinggi tanpa kehadiran oksigen. Ia menghasilkan komponen pepejal (bioarang), cecair (biominyak, tar, cuka kayu) dan gas.

Satu kumpulan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjalankan uji kaji proses pirolisis menggunakan bahan mentah iaitu sisa biojisim kelapa sawit untuk menghasilkan cuka kayu dan menguji kegunaannya di pelbagai lapangan.

Kajian ini mendapat kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta sokongan kewangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi melalui dana Universiti Penyelidikan dan dana Skim Geran Penyelidikan Fundamental.

Melalui kajian tersebut, mereka berjaya membuktikan potensi aplikasi cuka kayu daripada SBKW sebagai agen antipengoksidaan. Kandungan fenolik yang tinggi dipercayai bertanggungjawab bagi sifat antioksidan ini dan dibuktikan melalui uji kaji makmal. Ia berpotensi setanding dengan agen antioksidan komersial seperti Vitamin C.

Selain itu, cuka kayu daripada SBKW terbukti mempunyai keupayaan sebagai agen antibakteria dan antibiofilem bagi spesies seperti escherichia coli (E.coli), bacillus cereus dan staphylococcus aureus yang merupakan bakteria berbahaya dan sering dijumpai di persekitaran tercemar. Cuka kayu SBKW turut terbukti keberkesanannya sebagai agen antikulat.

Dalam satu lagi kajian, cuka kayu daripada SBKW menunjukkan potensi besar untuk digunakan sebagai agen antikeradangan berdasarkan keberkesanan komponen fenolik di dalamnya untuk merencatkan penghasilan nitrik oksida, iaitu elemen penting untuk isu keradangan dalam sel.

Sungguhpun begitu, lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum produk cuka kayu daripada SBKWK ini boleh dipasarkan, terutama melibatkan kegunaan kesihatan manusia. Sokongan berterusan pemegang taruh berkaitan adalah amat diperlukan bagi memastikan khazanah daripada sisa aktiviti perladangan tempatan ini dapat dimanfaatkan untuk negara.

Sebagai pengeluar dan pengeksport minyak kelapa sawit kedua terbesar di dunia, inilah masa untuk Malaysia mengambil peluang bagi memanfaatkan cuka kayu daripada SBKW untuk menambah hasil negara.

PROF. MADYA DR. ZAINUL AKMAR ZAKARIA
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN