SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, beberapa pihak meluahkan kebimbangan ramai murid tahun satu dan tadika berkemungkinan gagal menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M) disebabkan tempoh lama tidak bersekolah secara bersemuka akibat Covid-19.
Perkara ini membuatkan saya teringat perkataan dalam buku yang pernah dibaca iaitu drill to kill (latih tubi untuk membunuh). Saya berpendapat, sistem pendidikan awal di semua negara kini telah tersasar jauh daripada tujuan asal pendidikan di peringkat usia muda.
Sebelum ini, tujuan pendidikan di peringkat awal kanak-kanak adalah bagi memberi ruang kepada anak-anak kita untuk bersosial, bermain dan berinteraksi dengan orang lain selain keluarga sendiri.
Namun, desakan sistem pendidikan yang mengutamakan kebolehan anak-anak membaca seawal umur empat tahun telah mengubah tujuan asal pembangunan sistem pendidikan awal kanak-kanak.
Malangnya, perubahan yang membebankan kanak-kanak itu diterima baik oleh ibu bapa dan pengurusan sekolah. Ini kerana hasil yang dapat dilihat adalah lebih jelas jika dibandingkan tujuan asal pendidikan awal kanak-kanak. Melihat anak-anak mengenal huruf ABC adalah lebih ketara berbanding melihat mereka mempamerkan sikap berani dan yakin.
Bagi mencapai matlamat tersasar ini, kebanyakan tadika dan taska menjalankan teknik latih tubi yang hanya mementingkan hasil yang dapat ditunjukkan dengan jelas kepada ibu bapa dan mengabaikan proses untuk bersosial, bermain dan berinteraksi dengan orang lain.
Oleh kerana di awal usia kanak-kanak adalah seperti span yang mudah menyerap, teknik latih tubi ini sudah menjadi satu kebiasaan dan kanak-kanak tidak lagi mempunyai sikap untuk meneroka ilmu dengan sendiri.
Hasilnya, kita mula dengar banyak keluh-kesah daripada ibu bapa bahawa anak-anak tidak berminat dan tidak memberi fokus dalam pembelajaran di sekolah. Pada tahap ini, ibu bapa mula bimbang dan menyalahkan sistem sekolah rendah dan sekolah menengah walhal ia bukanlah punca utama kepada permasalahan tersebut.
Pengabaian kepada proses pembelajaran dan proses mendapatkan ilmu di usia muda telah mengakibatkan kanak-kanak hilang minat untuk meneroka ilmu. Pengetahuan yang dihidangkan, dipaksa untuk diterima dan dihabiskan jarang sekali memberi manfaat maksimum kepada seseorang. Ilmu dicari, ilmu diminati dan ilmu berkaitan diri adalah sesuatu yang bakal membina pengalaman dan kepakaran sepanjang hayat.
Persoalannya, kenapa kita memaksa kanak-kanak yang sepatutnya bermain dan meneroka di taska dan tadika untuk duduk, belajar dan menghabiskan sesi pembelajaran yang kita sediakan berdasarkan keperluan orang dewasa? Mengapa kita latih tubi anak-anak ini mengikut objektif yang kita reka tanpa mengambil kira lumrah kemenjadian mereka?
Paling penting, kenapa sistem pendidikan kita terlalu mendesak untuk mewajibkan kanak-kanak membaca pada usia terlalu muda? Pembelajaran efektif bukan hanya tercapai dengan kebolehan kanak-kanak untuk menguasai 3M, sebaliknya lebih daripada itu.
AISYAH INANI
Kuala Lumpur