SAUDARA PENGARANG,
DALAM berdepan pandemik Covid-19, saya berharap anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) lebih bertimbang rasa terhadap peniaga kecil yang membuka gerai nasi lemak.
Walaupun banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi kelonggaran kepada penduduk untuk berniaga secara kecil-kecilan di tepi jalan sepanjang sekatan pergerakan dijalankan, amalan itu nampaknya tidak ada pada segelintir anggota penguat kuasa MPAJ.
Arahan supaya peniaga menutup gerai hanya menyebabkan kehidupan mereka yang susah bertambah susah kerana orang senang tidak akan berniaga di tepi jalan.
Pada masa sama, saya benar-benar terkilan apabila tindakan sama tidak dikenakan terdapat pelbagai perniagaan haram di kawasan seliaan PBT itu termasuk judi dalam talian menggunakan jaringan tanpa wayar (WiFi) terbuka dengan nama Gaming House.
Sebab itulah semua perniagaan haram tumbuh seperti cendawan selepas hujan kerana tidak berani ditutup dan diambil tindakan undang-undang oleh MPAJ.
Berapa sangat pendapatan yang diperoleh oleh mereka yang membuka gerai di tepi jalan berbanding pihak yang menjalankan perniagaan secara haram? Itu pun nak ditindas peniaga tepi jalan.
Adakah gangguan supaya menutup gerai mempunyai maksud tersirat mahu meminta rasuah daripada peniaga supaya mereka tidak lagi diganggu? Sepatutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghantar pegawai menyertai semua operasi MPAJ agar amalan mengambil rasuah ini tidak berterusan.
Dalam pada itu, saya berharap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Ampang yang mengagih bantuan Covid-19 dalam bentuk barangan keperluan seperti beras dapat melakukan secara sama rata tanpa memilih bulu.
Kalau kita sanggup menganiaya orang susah, insya-Allah satu hari nanti Allah SWT akan membalas perbuatan tersebut.
NAD
Ampang, Selangor