Benarkan kami kahwin - Utusan Malaysia

Benarkan kami kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA ini ramai dalam kalangan rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19. Ada antara masalah mereka didengari dan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan. Namun begitu, terdapat beberapa perkara penting seperti dipandang sambil lewa oleh mereka yang bertanggungjawab.

Kami sedia maklum tentang penutupan sempadan negara demi keselamatan rakyat. Pun begitu, kami mahukan kepastian sampai bila keadaan ini berlarutan memandangkan Covid-19 tidak akan berakhir dalam waktu terdekat?

Bagaimanakah nasib kami yang sekian lama menunggu untuk berkahwin dengan pasangan bukan warganegara? Kami bersabar selama setahun sejak sempadan ditutup.

Kami sedia maklum dan mematuhi segala peraturan dan cara berurusan dengan kerajaan, namun malangnya tidak mendapat maklum balas daripada pihak imigresen bahagian keselamatan dan pasport.

Prosedur yang perlu dilakukan adalah menghantar e-mel kepada Jabatan Imigresen dan kami telah lakukan lebih tiga kali. Pun begitu, tiada balasan sehingga kini. Aduan juga telah dibuat menerusi telefon.

Usaha untuk berjumpa pegawai imigresen di Putrajaya juga tidak diendahkan. Begitu juga permohonan melalui MyTravelPass juga ditolak beberapa kali dengan alasan tidak munasabah.

Kebanyakan permohonan yang ditolak oleh Jabatan Imigresen atas alasan perkahwinan dikategorikan sebagai non-essential matters/business.

Jika pernikahan dengan bukan warganegara dikatakan sebagai non-essential, bagaimana pula dengan pernikahan sesama warganegara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)? Kenapa perlu wujud dwistandard sedangkan matlamatnya adalah sama, iaitu mendirikan masjid?

Lebih mengejutkan, terdapat banyak permohonan diberi kelulusan dengan tujuan berkahwin walaupun melibatkan negara-negara yang disekat kemasukannya.

Kami dimaklumkan, keputusan yang diberikan tertakluk kepada budi bicara pegawai yang bertugas ketika itu. Adakah pertimbangan melalui sistem budi bicara ini dianggap telus, wajar dan memberi keadilan kepada semua?

Apakah perbezaan kemasukan pekerja asing dan pembantu rumah (permohonan baharu) ke Malaysia berbanding tujuan perkahwinan?

Kami sedia maklum dengan prosedur operasi standard (SOP), kuarantin dan kos-kos yang berkaitan dan berjanji akan mematuhinya.

Oleh itu, kami merayu agar masalah ini ditangani sewajarnya dan diberi kelulusan yang sama sepertimana diberikan kepada permohonan-permohonan sebelum ini agar dapat meneruskan perancangan yang sudah tertangguh sekian lama.

YANG KECEWA
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya