SAUDARA PENGARANG,
SEDAR atau tidak, sudah lebih setahun kita diarah duduk di rumah bagi membendung penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Walaupun tidak keluar rumah, sebilangan daripada kita mampu untuk membayangkan di fikiran yang mereka sedang berada di sesuatu kawasan.
Bagi yang tidak boleh berbuat demikian, mereka menghidap keadaan neurologi dikenali sebagai aphantasia, iaitu tidak mampu menciptakan gambar atau bayangan secara visual dalam fikirannya.
Bagi kebanyakan penggemar buku, mereka dapat membayangkan jalan cerita dalam fikiran. Sebaliknya bagi yang menghidap aphantasia, mereka hanya memahami konsep yang dijelaskan.
Pengasas bersama Firefox, Blake Ross disahkan sebagai penghidap penyakit ini apabila tidak berupaya membayangkan secara visual atau membayangkan suara ibunya.
Dalam pengimejan resonans magnetik (MRI), aktiviti otak penghidap aphantasia berbeza dengan mereka yang normal.
Pada masa ini, tiada maklumat mengenai penyakit tersebut sama ada cenderung dihidapi oleh lelaki atau wanita.
Mengikut kajian, pada abad ke-20 terdapat 2.5 peratus populasi menghidap aphantasia. Namun, kajian lebih baharu pada 2009 oleh Majlis Penyelidikan Seni dan Kemanusiaan meramalkan dua peratus penduduk mempunyai penyakit ini.
Kajian ini juga meramalkan kira-kira dua hingga lima peratus populasi mempunyai kebolehan pengenalan visual normal yang sangat rendah dalam membayangkan gambar.
Walaupun sudah lama ada kajian mengenai aphantasia, masih banyak yang perlu dipelajari.
AZIZI AHMAD
Segambut Luar, Kuala Lumpur