SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN 189 bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun angka tersebut tidak boleh dijadikan ukuran dalam menentukan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
Sebaliknya, UMNO sebagai sebuah parti lama perlu membuat kajian secara lebih mendalam dan terperinci.
UMNO kalah pada PRU-14 yang lalu mesti ada sebab. Ibarat penyakit yang perlu dicari puncanya. Contohnya, demam malaria yang berpunca daripada nyamuk. Untuk menghalang daripada dijangkiti, kita perlu hapuskan terlebih dahulu nyamuk.
Begitu juga dalam parti politik. Siapa nyamuk dalam UMNO yang membawa penyakit terutama mereka yang terlibat dalam rasuah sehingga menjadi antara punca menyebabkan parti itu tersungkur pada PRU-14 lalu perlu dikesan dan diambil tindakan.
Oleh itu, angka 189 bahagian menolak kerjasama dengan Bersatu jangan diambil kira dari sekarang kerana pemilihan Majlis Tertinggi (MT) UMNO belum dibuat.
Pemilihan MT dilakukan semasa Perhimpunan Agung UMNO nanti. Apabila pemilihan MT diadakan, sudah pasti 189 bahagian akan bertukar iramanya. Tidak sama dengan iramanya di cawangan.
Ubat suntikan penyakit ada di perhimpunan agung belum dibahaskan untuk mencuci minda perwakilan.
OMAR LOLO
Kuala Lumpur