SAUDARA PENGARANG,
MENURUT laporan terkini, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sangat penting untuk kerajaan membuat keputusan dan perubahan dalam polisi pendidikan sedia ada.
Pada pendapat saya, adalah wajar membuka semula semua sekolah dan universiti walaupun tidak direalisasikan seperti sebelumnya.
Hal ini kerana bidang pendidikan penting untuk memastikan generasi akan datang mampu mentadbir negara dengan baik. Semua lapisan masyarakat berhak mendapat pendidikan secukupnya demi menjamin masa hadapan mereka dan negara.
Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang menjadi norma baharu amat mudah diikuti rakyat.
SOP ini secara tidak langsung dipraktikkan di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi. Tiada apa yang perlu diragukan kerana pihak terlibat sentiasa memastikan semua pelajar mengikut arahan yang ditetapkan.
Kerjasama semua pihak termasuklah pihak pengurusan, ibu bapa dan pelajar amat diperlukan dalam mengawal penularan wabak ini.
Tiada alasan untuk tidak meneruskan sesi persekolahan dan universiti kerana pelbagai langkah dan strategi dirangka oleh kerajaan untuk membantu masyarakat dalam meneruskan sesi persekolahan dan pengajian.
Orang ramai menyambut baik keputusan kerajaan untuk membuka semula sekolah dan universiti dengan pematuhan SOP ketat. Selagi mana semua dapat mengikuti garis panduan ditetapkan, tiada masalah akan berlaku ketika sesi pembelajaran.
ABANG AZLAN SAH ABANG MADEHIE
Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Shah Alam, Selangor