Temerloh ‘lumpuh’ akibat banjir - Utusan Malaysia

Temerloh ‘lumpuh’ akibat banjir

Banjir yang berlaku saban tahun menyukarkan rakyat, sekali gus beberapa langkah perlu diambil oleh kerajaan untuk meringankan beban penduduk terlibat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUSIM tengkujuh yang melanda Pahang, Terengganu dan Kelantan pada setiap tahun membawa banyak kesulitan dan kerugian kepada rakyat.

Banjir baru-baru ini menyaksikan Pahang terutama di daerah Temerloh dan Maran ditenggelami air berikutan hujan lebat beberapa hari.

Oleh itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mencari jalan bagi meringankan beban rakyat akibat bencana tersebut.

Antara kesan ketara banjir di Temerloh pada kali ini ialah penutupan Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) antara Kuala Lumpur dan Kuantan. Kalau tidak silap saya, terdapat tiga kawasan dinaiki air iaitu Lanchang di Kilometer 84.4, Kilometer 102.2 dan berhampiran Persimpangan Chenor-Maran.

Begitu juga di jalan Karak ke Temerloh. Penutupan jalan utama sama ada ke Pantai Barat atau Pantai Timur memberi kesan besar terhadap ekonomi dan pergerakan rakyat. Akibatnya, selama beberapa hari penduduk di sekitar Temerloh kehabisan minyak kerana lori yang menghantar bekalan minyak terputus hubungan akibat jalan ditenggelami air.

Stesen minyak yang masih mempunyai bekalan minyak menjadi tumpuan dan terjadilah kesesakan.

Selain itu, bekalan makanan basah seperti ikan dan sayur-sayuran juga sangat terhad kerana tidak dapat dibawa masuk terutama dari Kuantan dan Cameron Highlands. Beberapa kedai dan pasar raya kehabisan bekalan.

Begitu juga perkhidmatan pengeluaran wang di bank tidak dapat dibuat untuk beberapa hari kerana talian elektrik dipotong.

Justeru, saya mencadangkan kerajaan negeri dan pemegang kosensi lebuh raya supaya mengambil jalan terbaik bagi mengurangkan penutupan laluan utama sekitar Temerloh semasa banjir.

Antaranya mengenal pasti laluan yang rendah dan meninggikan laluan berkenaan selain menggantikan jambatan lama dengan dibina lebih tinggi. Begitu juga melebarkan anak sungai di Jambatan Sungai Nerek di laluan Jengka-Kampung Awah.

Sementara di LPT1 , ANIH Berhad selaku pemegang konsesi boleh membina laluan air di bawah lebuh raya agar perhubungan jalan darat tidak terjejas.

Akhir sekali, diharap KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan terutama di pasar raya untuk mengelak kenaikan harga barangan keperluan.

ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya