Tambah baik prosedur import barang halal - Utusan Malaysia

Tambah baik prosedur import barang halal

FUNGSI agensi-agensi yang mengawal aspek halal masih lemah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan isu kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualiti sehingga mengundang kemarahan rakyat beragama Islam.

Dari satu segi, kita bersyukur kerana umat Islam di Malaysia sangat peka dengan isu-isu halal kerana ia melibatkan makanan yang menjadi darah daging. Namun, menuduh dan menghukum satu-satu pihak bukan kaedah penyelesaian terbaik.

Tumpuan sepatutnya adalah menambah baik rantaian bekalan halal. Pada masa sekarang, fungsi agensi-agensi yang mengawal import dan eksport masih lemah.

Penguatkuasaan aktiviti perdagangan halal ini tidak terletak sepenuhnya dalam bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kerana ia hanya dipertanggungjawabkan untuk menyemak sijil halal daging import.

Penguatkuasaan ini perlu diperkukuhkan lagi melalui lantikan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau agensi yang mempunyai kapasiti pengetahuan
dan pengalaman khusus dalam mengawal produk halal di sempadan serta pintu masuk lain.

Ia dilihat selaras dengan pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang turut memperluaskan bidang kuasa pegawai Jakim dalam aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap pengusaha yang menyalahgunakan logo halal melalui kad kuasa yang diberikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berbanding hanya menjadi saksi sebelum pindaan APD 2011 dilakukan.

Bagaimanapun, bagi melengkapkan lagi kuasa Jakim dalam melaksanakan sistem halal yang holistik, cekap dan berkesan, sudah tiba masanya akta halal digubal untuk penambahbaikan prosedur dan polisi kemasukan barangan halal yang boleh digunakan sebagai rujukan operasi. Kewujudan akta berkenaan akan membolehkan Jakim menetapkan prosedur dan polisi import barangan halal.

Dalam pada itu, sejak 2009, tiada pertambahan staf dalam Bahagian Pengurusan Halal Jakim. Untuk meningkatkan kawalan kemasukan barangan halal, Jakim memerlukan penambahan bilangan kakitangan.

Langkah penambahbaikan lain ialah sekiranya barang halal tidak ada dalam kod tarif kastam, kita perlu meletakkan keperluan syarat-syarat kepada pengimport untuk mengikrarkan barang halal seperti yang dilakukan kepada barang mudah rosak (fragile).

Satu lagi kelemahan yang dikesan adalah pemeriksaan fizikal dan operasi pengesahan kandungan barangan import halal juga tidak dapat dilaksanakan di sempadan. Ini adalah disebabkan oleh ketiadaan fasiliti untuk mengesan dan membezakan barang makanan halal atau haram yang memasuki negara kita. Ini sudah tentu menyukarkan pelaksanaan kawalan barangan halal kepada agensi-agensi sedia ada.

Kemudahan pengasingan barangan ini penting kerana mengikut undang-undang, tiada halangan untuk membawa barang tidak halal masuk ke Malaysia kecuali barangan larangan yang disekat untuk keluar dari dan masuk ke negara ini.

PROF. MADYA DR. HARLINA SUZANA JAAFAR & NOR BAKHRIAH SARBANI
Pusat Pengurusan Halal dan Inovasi Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya