Betullah, jika diperhatikan sekarang ini pemimpin cakap apa pun, rakyat akan menempelak, mengecam dan mempersendakan. Atau saya ubah jadi soalan, betulkah?
Sebabnya, membaca saja komen-komen dalam media sosial, mana-mana pemimpin atau menteri apabila memberi kenyataan, tidak kira isu apa pun, tiada kata-kata baik yang dikomen oleh orang ramai. Semuanya hentam saja.
Dan yang paling ‘teruk’ apabila ada ahli politik yang dijangkiti Covid-19, susah hendak cari komen simpati warganet. Kalau ada pun setakat satu atau dua, selebihnya menjadikan ia sebagai bahan gurauan dan melepaskan geram. Ada pula berharap ahli politik ini atau itu sepatutnya juga mendapat Covid. Aduhai, kenapa begitu?
Mungkin betul juga, ini tidak boleh dianggap sebagai cerminan bahawa ia mewakili keseluruhan rasa tidak puas hati rakyat. Bukan semua hentam. Ramai juga tak ambil peduli, berkecuali atau tidak ada masa untuk melayari berita kerana sibuk dengan urusan kerja, tapi bolehkah golongan ini hendak dikira sebagai penyokong?
Tetapi hakikatnya, sindrom penafian sudah banyak kali menunjukkan jalan keluar kepada pemimpin dan parti politik. Jadi kenapa susah sangat hendak belajar daripada pengalaman lalu?
Kata kunci untuk mendapat sokongan rakyat adalah – mengisi keperluan mereka. Tak perlu berucap di depan orang ramai atau TV dengan terjerit-jerit untuk mendapatkan tepukan atau tak perlu mengulas semua isu, tapi hakikatnya hanya duduk di kerusi empuk, tidak berbuat apa-apa. Sekadar sembang kencang.
Gelombang ketiga Covid-19 menyaksikan kebangkitan rasa tidak puas hati rakyat. Apabila mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan patuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 bermula Mac tahun lalu dan selepas itu angka jangkitan cuma tinggal 1 kes, Pilihan Raya Negeri Sabah pula diadakan.
Menafikan PRN punca kes melambung, ia sudah terang lagi bersuluh. Sebabnya jangkitan demi jangkitan berlaku sejak PRN itu sehingga kini merebak ke seluruh negara mencecah lebih 4,000 kes sehari.
Ada oang kata, politik ini berseni. Tapi mana datang seninya kalau main langgar saja, tidak kira waktu pandemik yang sepatutnya mengutamakan nyawa rakyat.
Apabila PKP 2.0 diumumkan, dalam ramai yang memuat naik status dalam laman sosial, buat lawak tak kena tempat, gembira seperti hendak menyambut Hari Raya, ramai yang sedang berduka mengira berapa lama wang simpanan mereka ( jika ada) boleh bertahan untuk menampung perbelanjaan keluarga dalam tempoh PKP ini yang tidak pasti bila akan berakhir. Mungkin ada yang tidak sedar, dalam sibuk membuat pembelian panik baru-baru ini, membeli barang bertroli-troli, ada ramai tidak membuat sebarang persiapan, sebaliknya, panik, akan hilang pendapatan.
Yalah, bukan semua bekerja makan gaji di sektor kerajaan atau swasta yang setiap kali hujung bulan duit masuk dalam bank. Bukan semua boleh work from home. Ramai yang kerja sendiri, istilah tak kerja tak makan adalah lebih tepat.
Dalam tempoh tidak sampai beberapa hari 2,0 dijalankan, sudah ada pekerja yang diberhentikan Sama ada majikan mengambil kesempatan atas keadaan ini untuk membuang pekerja, itu kurang pasti. Tetapi yang pastinya sudah ada pemberhentian.
Sementara itu, ahli-ahli politik sehingga kini masih sanggup bercerita pasal Pilihan Raya Umum Ke-15, mahu bertanding kawasan mana, hendak letak calon mana, cukup nombor tak hendak jadi Perdana Menteri dan siapa sokong dan tolak siapa. Dah kenapa?
Hakikatnya, ramai sudah tidak ambil pusing mana-mana parti politik pun. Bagi rakyat, mana pihak yang cepat datang menghulur bantuan, orang itulah yang mereka sanjung dan kenang sampai bila-bila.
Ya, betullah, Covid-19 banyak mengajar kita. Siapa yang ada pada waktu senang dan siapa yang pergi di kala kita susah. – Mingguan Malaysia
Tak kerja, tak makan…
- Oleh Fauziah Md Arof
- 24 Januari 2021, 1:55 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Apabila guru ‘telan’ saja perangai ibu bapa
7 Ogos 2022, 7:53 am
‘Rembat’ sajalah kerja yang ada
24 Julai 2022, 7:09 am
Buka cerita rumah tangga di media sosial – Tepuk air di dulang, kena muka sendiri
10 Julai 2022, 11:37 am