SAUDARA PENGARANG,
Saya ke Shah Alam, Selangor, baru-baru ini atas urusan kerja.
Ketika memandu di lebuh raya bertingkat untuk ke Seksyen 13, saya terperanjat apabila seorang kanak-kanak dalam lingkungan 10 tahun menghampiri ketika sedang berhenti di lampu isyarat merah untuk meminta derma.
Dengan wajah sugul, kanak-kanak itu terus berdiri di cermin pemandu meminta belas ihsan.
Saya serba salah sama ada untuk memberi sumbangan derma atau tidak, Jika diberi, untungnya kepada sindiket. Jika tidak diberi dan kanak-kanak tersebut gagal membawa ‘habuan’, risau pula dia diapa-apakan. Akhirnya saya memilih untuk memberi kerana tidak mahu kanak-kanak tadi dicederakan.
Ya, isu eksploitasi kanak-kanak di negara ini bukanlah sesuatu yang baharu dan perlu ‘diterperanjatkan’ kerana banyak sindiket telah untung besar melalui aktiviti yang dianggap kejam ini.
Kerajaan sudah sedaya-upaya membanteras isu ini, namun seakan tiada penghujung. Tidak pasti mengapa.
Adakah kebaikan rakyat Malaysia yang suka memberi dan menderma menyebabkan sindiket ini terus bermaharajalela atau kurangnya penguatkuasaan sejak kebelakangan ini atau juga unsur rasuah oleh pihak penguat kuasa yang menjaga sesuatu kawasan dan menutup sebelah mata terhadap kes ini.
Beberapa tahun lalu, saya menegur tiga beradik yang meminta sumbangan derma di sebuah kedai makan di Shah Alam. Mula-mula saya mengajak mereka untuk menikmati makanan bersama, namun ditolak atas alasan takut dimarahi.
Saya berbual dengan tiga beradik tersebut dan diberitahu mereka akan didera jika pulang dengan tangan kosong atau tidak mencapai kehendak ejen.
Saya memberi sedikit sumbangan yang kemudiannya diagihkan oleh abang kepada dua lagi adiknya. Apabila ditanya mengapa tidak si abang memegang duit tersebut kerana adik-adiknya masih kecil, dia menjawab, “nanti adik dipukul.”
Setahu saya, seorang kanak-kanak yang berusia di bawah umur 18 tahun seperti termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilindungi mengikut Dasar Pelindungan Kanak-Kanak Negara.
Pelindungan kanak-kanak merujuk kepada strategi dan aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.
Jika dilihat secara mata kasar, saya percaya kanak-kanak tersebut bukan sahaja dieksploitasi oleh pihak lain untuk mendapatkan faedah dari segi kewangan, tetapi juga menjadi mangsa penderaan fizikal, mental dan emosi menyebabkan mereka kemurungan.
Justeru, saya berharap pihak berkuasa tidak memberi muka kepada jenayah seperti ini sama ada melibatkan kanak-kanak tempatan atau warga asing.
Seorang kanak-kanak sepatutnya menikmati masa muda dengan bergembira dan dicurahi kasih sayang bersama rakan dan ahli keluarga, bukannya berdiri di tengah panas atau ketika hujan, berjalan dari satu kenderaan ke kenderaan lain sambil membawa tabung derma.
Jika pihak berkuasa terlihat aktiviti jenayah ini, tangkaplah kanak-kanak tadi dan tempatkan mereka di rumah pelindungan dengan menyediakan penjagaan yang baik termasuk makan, minum dan kesihatan.
AZRA IRDANI
Kuala Lumpur