SAUDARA PENGARANG,
SETIAP lapisan masyarakat menerima tempias daripada pandemik Covid-19 dan tidak terkecuali mahasiswa di universiti di seluruh negara. Oleh itu, kebajikan mereka perlu diambil perhatian secara serius oleh semua pihak.
Umum mengetahui, penempatan mahasiswa melibatkan mereka yang menginap di dalam dan di luar kampus. Kekangan lokasi dan kemudahan kolej kediaman yang terhad menyebabkan wujudnya penginapan luar kampus di sekitar universiti bagi menampung jumlah pelajar tersebut.
Sering kali pelajar menginap di dalam kampus menikmati pelbagai kemudahan serta mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak pengurusan universiti berbanding yang tinggal di luar kampus.
Oleh itu, aspek kebajikan pelajar luar kampus perlu diberi perhatian dan pemantauan secara khusus serta teratur oleh pengurusan universiti.
Sehubungan itu, saya menyambut baik arahan Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini supaya semua universiti awam mewujudkan portfolio khas yang menguruskan hal ehwal pelajar luar kampus.
Cadangan tersebut adalah antara 11 agenda diusulkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jun lalu bertujuan memartabat serta memperkasakan mahasiswa institusi pengajian tinggi.
Persetujuan di pihak kerajaan terhadap cadangan penubuhan portfolio khusus ini perlu direalisasikan segera, namun harus mengambil kira kesesuaian kebolehlaksanaan,
Dalam pada itu, dari aspek kebajikan dan kewangan pelajar luar kampus, setiap universiti disaran menggerakkan sepenuhnya unit zakat masing-masing untuk memantau dan mengenal pasti para pelajar khususnya dalam kategori berpendapatan rendah (B40).
Sinergi antara dana zakat dan dana kebajikan pelajar di setiap universiti adalah kaedah terbaik bagi menjaga kebajikan pelajar di luar kampus.
DR. MOHD. ASHROF ZAKI YAAKOB
Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Shah Alam, Selangor