SAUDARA PENGARANG,
PENULARAN Covid-19 banyak memberi kesan kepada kehidupan manusia di seluruh dunia. Antara golongan paling teruk terjejas akibat penularan wabak ini ialah belia berusia di bawah 30 tahun yang majoriti belum memiliki kestabilan kewangan kerana baru bekerja atau masih menganggur.
Isu pengangguran dalam kalangan belia bukan satu fenomena baharu di negara ini. Terdapat beberapa faktor yang mendorong kadar pengangguran di Malaysia terus meningkat. Antaranya kurang penguasaan bahasa Inggeris, permintaan rendah majikan untuk kursus diambil graduan dan terlalu memilih pekerjaan.
Masalah ini perlu diselesaikan dan tidak boleh dibiarkan berterusan. Belia perlu mendapatkan pekerjaan bagi menjana sumber pendapatan untuk diri sendiri dan menampung keluarga.
Peratusan kadar pengangguran meningkat ke paras lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana pasaran pekerjaan negara terjejas dengan pandemik berkenaan.
Dasar lebih jelas dan khusus perlu dirangka bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi membantu golongan belia. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia perlu mencari satu penyelesaian kekal bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan belia. Majlis Pekerjaan Negara (MPN) adalah antara medium terbaik untuk mengkoordinasi dan mencari penyelesaian.
Menurut satu kajian, pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia juga disebabkan pekerjaan tidak sepadan dengan kemahiran mereka. Majoriti peluang pekerjaan yang ada di pasaran adalah dalam kategori kemahiran rendah dan sederhana, di mana kurang sesuai untuk graduan baharu.
Menurut kajian Institute for Research & Development of Policy (IRDP), universiti dan kolej di Malaysia menghasilkan lebih 200,000 graduan tempatan dengan kelayakan diploma dan ijazah sarjana muda setiap tahun.
Mereka yang memasuki pasaran pekerjaan akan ditawarkan dengan gaji sangat rendah. Bagaimanapun, mereka tiada pilihan selain menerima tawaran tersebut supaya tidak menganggur.
Kadar pengangguran dalam kalangan belia pada 2018 adalah 10.8 peratus. Faktor kadar yang tinggi ini disebabkan ketidaksepadanan antara bekalan buruh dengan permintaan terhadap tenaga kerja di pasaran.
Terdapat kekurangan penciptaan pekerjaan terutama berkemahiran tinggi yang sesuai dengan kelayakan siswazah muda. Ini menyebabkan ramai graduan muda menganggur mengakibatkan ramai bekerja di bawah potensi sebenar. Malangnya, kerajaan tidak menerbitkan sebarang statistik mengenai pekerjaan di bawah kapasiti sebenar.
Bagi menangani isu ini, kerajaan perlu meningkatkan kebolehpasaran graduan yang dihasilkan oleh universiti tempatan dan harus bertindak sebagai majikan sementara untuk graduan menganggur. Ini membolehkan mereka dilatih dan dipertingkatkan kemahiran dalam bidang yang mampan dan mempunyai masa hadapan.
Kerajaan mesti mengambil pendekatan proaktif untuk menangani isu ini sebelum ia menjadi masalah lebih besar dan tidak dapat dikawal. Pelaburan untuk belia hari ini adalah pelaburan untuk masa depan negara.
SIVANESAN TAMIL SELVAM
Felow Penyelidik
Majlis Belia Malaysia (MBM)