SAUDARA PENGARANG,
SEMUA institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan sepatutnya dibuka hari ini seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Namun, disebabkan penularan pandemik Covid-19 yang semakin serius, keputusan tersebut terpaksa ditangguh kecuali pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Hal ini secara tidak langsung memberi sedikit kelegaan kepada ibu bapa yang bimbang dengan kesihatan anak masing-masing apabila pembelajaran secara bersemuka bermula.
Pertikaian mengenai seberapa ketat disiplin atau prosedur operasi standard (SOP) dengan kawalan guru terhadap ribuan pelajar masih tidak lagi mendapat sepenuh kepercayaan daripada ibu bapa kerana persediaan infrastuktur dan budaya disiplin mereka masih belum berada pada tahap tinggi.
Seperti kita lihat, kes Covid-19 masih tinggi, justeru tindakan kerajaan untuk menangguhkannya disambut baik ekoran pengoperasian sekolah hanya akan memberi impak yang tinggi dan kesan kepada pelajar.
Tingkah kerajaan itu mungkin mengambil iktibar daripada isu yang berlaku di Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS), Seremban yang ketika itu terdapat pelajar disahkan positif Covid-19. Susulan itu, semua pelajar, ibu bapa, penjaga, guru serta pentadbir sekolah diarah melakukan ujian saringan dan penutupan premis serta kuarantin kendiri. Di samping itu, seluruh kawasan sekolah perlu disanitasi ketika penutupan premis dilakukan.
Pembelajaran dalam talian dilihat sebagai cara terbaik bagi membolehkan pelajar menuntut ilmu selain membantu kerajaan melandaikan kes penularan pandemik di negara ini.
Melalui pembelajaran di alam maya, kita dapat melihat pergaulan atau interaksi antara pelajar serta guru di sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) adalah sama dengan pembelajaran secara dalam talian. Ini kerana mereka akan terbatas dengan sistem penjarakan sosial.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan haruslah mengkaji semula risiko pembukaan sekolah dan IPT dengan melihat semula kadar peningkatan Covid-19 serta terus menggunakan sistem pembelajaran secara dalam talian. Ibu bapa dan penjaga juga disaran memberi lebih tumpuan kepada pelajar ketika pembelajaran dilakukan serta memantau tugasan yang diberikan oleh guru kepada pelajar.
NOOR FARAH SARIFUL AZMAN
Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perhubungan Awam
Universiti Teknologi Mara (UiTM)