Pastikan kelestarian hutan bakau - Utusan Malaysia

Pastikan kelestarian hutan bakau

KEINDAHAN hutan bakau yang kaya dengan flora pasti akan menyegarkan mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MALAYSIA mempunyai kawasan hutan bakau kedua terbesar di Asia Tenggara seluas 629,038 hektar dengan 60 peratus daripadanya terletak di Sabah.

Di Semenanjung, Perak mempunyai hutan bakau terbesar dikenali Hutan Paya Laut Matang, diikuti Johor dengan Hutan Simpan Sungai Pulai dan Pulau Kukup.

Hutan bakau berperanan menyediakan habitat bagi pembesaran anak-anak ikan dan pelbagai hidupan marin. Akarnya berfungsi sebagai tempat perlindungan. Di samping itu, hutan bakau menyediakan sumber makanan kepada ikan, ketam, udang dan spesies marin lain.

Ia turut berperanan sebagai penebat bencana dan mampu menghalang kejadian banjir. Hutan bakau melindungi pantai daripada ombak dan ribut.

Ia juga berperanan menghalang arus air laut daripada memasuki sungai dan akar yang mencengkam tanah dengan kukuh dapat menghalang hakisan.

Hutan bakau juga berpotensi sebagai tarikan ekopelancongan kerana wujud kepelbagaian spesies seperti monyet, burung, ular, serangga, ikan, ketam dan siput. Di Sabah dan Sarawak, kawasan berkenaan didiami spesies unik iaitu monyet proboscis.

Dalam pada itu, hutan bakau di Kampung Kuantan, Kuala Selangor pula terkenal dengan kehadiran kelip-kelip di pokok berembang yang menghasilkan cahaya pada bahagian abdomen.

Hutan Paya Laut Matang pula menjadi destinasi popular untuk memerhati burung hijrah seperti burung botak upeh dan burung botak kecil.

Keindahan hutan bakau yang kaya dengan flora pastinya akan menambahkan nilai estetika dengan pemandangan yang hijau dan menyegarkan mata. Oleh itu, hutan bakau perlu dikekalkan kelestariannya kerana ia mempunyai banyak faedah.

PROF. MADYA DR. ZAITON SAMDIN
Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN