SAUDARA PENGARANG,
NEGARA sedang melalui satu tempoh suram. Bencana banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur dan Johor menambah derita rakyat yang sedang parah melawan virus Covid-19.
Melihatkan keadaan di lapangan, tahap prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah Covid-19 sudah ‘tidak terikut’ terutama di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.
Ia bukan sesuatu yang menghairankan kerana kita sedar mangsa banjir sudah dikategorikan dalam keadaan terdesak. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa berlindung di tempat ramai orang bagi menyelamatkan diri serta keluarga. Selain itu, terdapat juga PPS yang melakukan pembahagian barangan tidak mengikut SOP.
Mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan misi bantuan banjir dan penyerahan sumbangan dikawal dengan sistematik.
Pemberi bantuan hendaklah menyusun atau membungkus dengan baik barangan yang hendak didermakan. Sebagai contoh, pakaian hendaklah disusun serta dibungkus setiap helai, seterusnya dilabel berdasarkan saiz dan jantina.
Jika prosedur ini diterapkan, lambakan pakaian yang sentiasa terjadi di PPS tidak akan berlaku lagi kerana setiap helaian boleh diuruskan dengan baik seterusnya diagihkan kepada mangsa berdasarkan label yang tertera.
Dalam pada itu, penerima bantuan harus menunjukkan sikap mulia. Elakkan berebut-rebut. Sikap tolak ansur dan sabar sentiasa diharapkan daripada semua mangsa.
Selain itu, khidmat sukarelawan amat ditagih dalam keadaan bencana ini. Kepada sukarelawan yang sedia berkhidmat, ini bukan masa untuk bersuka-ria. Bantulah seikhlas dan semampu mungkin di samping menjaga perilaku.
MOHD. NIZAM OMAR
Penolong Bendahari Kehormat
Majlis Belia Malaysia (MBM)