Melancong ke luar negara popular hujung 2021 - Utusan Malaysia

Melancong ke luar negara popular hujung 2021

PENULIS ketika melawat kota Edinburgh, Scotland, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBELUM pandemik Covid-19 merebak di peringkat global, rakyat Malaysia gemar melancong ke luar negara. Antara destinasi yang popular dilawati ialah Pulau Bali, Tokyo, Korea Selatan, London dan Paris.

Namun hasrat mereka untuk melancong ke luar negara pada tahun lalu terbantut ekoran penularan virus berkenaan. Saya berpendapat, pada akhir 2021, aktiviti melancong ke luar negara akan kembali rancak jika pandemik Covid-19 dapat dibendung.

Jika dilihat dari segi kos, perjalanan ke destinasi luar negara tidaklah begitu murah. Namun, apakah faktor yang membuatkan rakyat Malaysia gemar untuk melancong ke luar negara?

Pertama, saya berpendapat kerana faktor cuaca. Cuaca sejuk memberi sedikit kelainan ditambah perasaan teruja jika dapat bermain salji.

Ada juga yang gemar melancong ke Jepun, Belanda mahupun bandar raya Istanbul di Turki pada musim bunga yang bermula pada awal Mac hingga akhir Mei.

Pelancong gemar melancong pada musim bunga kerana boleh menikmati udara segar, cuaca sederhana dingin dan semestinya keindahan warna-warni bunga yang mekar indah.

Selain itu, keterujaan menaiki kapal terbang ke destinasi tertentu menambahkan lagi keseronokan. Ia bermula daripada layanan mesra anak kapal dan pemandangan dari tingkap pesawat yang tersangat indah.

Seperkara lagi, faktor penarik rakyat Malaysia ke luar negara adalah minat memahami keunikan budaya, bahasa dan cara hidup rakyat di negara asing.

Misalnya, kewujudan Istana Edinburgh yang dibina pada abad ke-12 di Scotland membolehkan pelancong mengetahui cara hidup golongan diraja pada zaman dahulu.

Malah, pengaruh drama Korea dan artis K-pop sedikit sebanyak menarik minat rakyat Malaysia untuk melancong ke Seoul, Busan dan Pulau Jeju.

Pulau Jeju yang diberi gelaran ‘pulau bulan madu’ terkenal kerana pemandangan laut yang luas dan kaya dengan keindahan alam.

Turut menjadi faktor adalah pengaruh media. Media selalu mengambarkan Paris, Pulau Bali dan Pulau Jeju sebagai destinasi cinta dan romantik yang wajib dikunjungi.

Justeru, ia menarik minat pasangan untuk berbulan madu dan menyambut hari istimewa bersama pasangan masing-masing.

Bagaimanapun, pemilihan destinasi bergantung kepada cita rasa masing-masing. Buatlah pilihan yang mampu memberikan kegembiraan, pengalaman dan kenangan indah.

Seperti Malaysia Airlines iaitu Journeys are made by people you travel with atau boleh diterjemahkan sebagai perjalanan lebih bermakna jika bersama orang tersayang.

DR. MUHAMMAD MAJID
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya