Mara perlu tumpu pertanian - Utusan Malaysia

Mara perlu tumpu pertanian

PROGRAM keusahawanan di Mara dengan jelas menyatakan sektor pertanian dan penternakan dikecualikan daripada pembiayaan badan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) adalah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966 oleh Parlimen melalui Akta Mara hasil daripada Ketetapan Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada 1965.

Setelah sekian lama wujud, ramai antara kita yang sudah lupa bahawa Mara dipertanggungjawabkan di bawah aktanya untuk melabur, membangun, memfasilitasi dan mendorong aktiviti perindustrian dan komersial untuk mencapai mandat pembangunan sosioekonomi orang Melayu serta bumiputera di seluruh negara, terutama luar bandar.

Mandat yang luas ini bermaksud Mara juga akan menjalankan aktiviti tersebut dalam sektor pertanian dan penternakan.

Masalahnya, Mara sejak tiga dekad lalu boleh dikatakan leka dalam hal ini. Sebagai contoh, program keusahawanan di Mara jelas menyatakan sektor pertanian dan penternakan adalah dikecualikan daripada pembiayaan mereka.

Apabila Mara menubuhkan Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp.) pada 2016 dan mengumumkan akan fokus dalam aktiviti perindustrian dan komersial, timbul harapan baharu yang Mara akan menjalankan tanggungjawab mereka akhirnya.

Namun, harapan ini gagal dipenuhi malah nyaris punah pada 2019 apabila Majlis Mara mengumumkan hendak menutup Mara Corp. dan menukar mandat asas Mara sendiri.

Nasib baik perancangan itu tidak dilaksanakan. Beberapa bulan kemudian, pengurusan baharu terdiri daripada golongan profesional dilantik. Ini menghidupkan kembali harapan kami untuk melihat orang Melayu dan bumiputera menerajui sektor pertanian dan penternakan.

Kami yakin masanya sudah tiba untuk Mara Corp. sebagai syarikat pelaburan induk Mara dapat melabur dalam program-program perindustrian dan komersial sektor pertanian dan penternakan berasaskan makanan secara serius dan menyeluruh.

Jika kita lihat kepada sejarah, pembangunan pertanian di Malaysia mendapat komitmen yang tinggi oleh kerajaan sejak merdeka. Namun, pada 1980-an, Malaysia sibuk dalam strategi untuk mencapai status negara maju melalui penerapan sektor pembuatan dan mempromosikan perindustrian. Salah satu implikasinya ialah peminggiran sektor pertanian secara mendadak.

Pandemik Covid-19 memberi kesedaran kepada kita tentang kepentingan kecukupan tahap sara diri (SSL) 100 peratus dalam penghasilan makanan negara apabila larangan eksport antarabangsa dikenakan dan rantaian logistik tempatan dan dunia terputus.

Umat Islam di Malaysia pula seolah-olah baru tersedar oleh pembongkaran sindiket kartel daging import dan entah berapa banyak lagi skandal makanan yang pernah kita dengar seperti ayam tidak sembelih.

Harus diakui, umat Islam cukup lemah dalam hal bekalan dan pasaran bahan makanan halal dalam negara sendiri walaupun majoriti petani, penternak dan nelayan di negara ini ialah orang Melayu.

Hal ini tidak pelik kerana semua orang tahu dalam sistem rantaian bekalan makanan, pihak yang mengeluarkan makanan duduk paling bawah dalam rantaian bekalan dan bukan pihak yang akan menguasai industri.

Oleh itu, Mara tidak boleh mengecualikan diri dari sektor pertanian dan penternakan. Ia harus memperkasakan petani, penternak dan nelayan bumiputera dan memastikan umat Islam mengawal industri bekalan makanan negara termasuk pengimportan makanan.

FITRI AMIR
Setiausaha Agung IDRIS Association

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya