SAUDARA PENGARANG,
SUDAH banyak kempen dilakukan oleh kerajaan mahupun pihak swasta dalam menggalakkan orang ramai untuk memanfaatkan amalan kitar semula bagi melindungi alam sekitar.
Malah tong kitar semula bagi memudahkan orang ramai mendermakan pakaian terpakai kepada golongan memerlukan juga ada diletakkan di sekitar kawasan perumahan.
Namun, nampaknya peratusan rakyat Malaysia dalam melakukan pengasingan sisa sampah masih lagi rendah dan tidak diamalkan secara total. Ini boleh dilihat apabila tong kitar semula yang disediakan oleh pihak kerajaan atau swasta tidak digunakan dengan sebaiknya.
Amat dikesali apabila tong tersebut dijadikan tempat pembuangan sampah dan perabot usang.
Perkara sama berlaku pada tong kitar semula untuk tujuan amal di Jalan Megah, Cheras, Selangor yang dibuang perabot seperti sofa, tilam dan kerusi.
Tong kitar semula itu kerap menjadi lokasi pembuangan barangan pukal oleh penduduk setempat yang tidak mahu menyewa lori bagi membawa barang-barang terpakai itu ke tempat sepatutnya.
Perbuatan sedemikian telah memburukkan pemandangan selain mengotorkan kawasan terbabit.
Ada masanya barangan terpakai yang dibuang menjadi tempat pembiakan nyamuk sekiranya tiada pihak membersihkan kawasan tersebut.
Diharap orang ramai lebih peka mengenai tujuan tong kitar semula untuk tujuan amal diletakkan. Usahlah bersikap mementingkan diri sendiri dengan membuang barangan yang tidak mahu digunakan di tong tersebut kerana ia akan mengganggu proses pengasingan dan penghantaraan pakaian kitar semula ke pihak yang sepatutnya.
KAMAL
Taman Megah
Cheras, Selangor