SAUDARA PENGARANG,
SUNGGUH menakjubkan apabila mengetahui kira-kira 70 peratus pasangan dari Malaysia berkunjung ke selatan Thailand semata-mata memenuhi hajat berpoligami sementara 30 peratus lagi berkahwin di sana kerana masalah halangan keluarga.
Mengikut laporan akhbar tempatan, terdapat 1,825 pasangan Malaysia yang berkahwin di Thailand dari 2010 hingga 2020. Berdasarkan jumlah tersebut, jelas ia bukan angka yang kecil jika dipandang secara keseluruhan kerana mungkin terdapat lagi dalam kalangan warga tempatan yang berkahwin secara senyap-senyap di luar pengetahuan kerajaan negara ini.
Persoalannya, kerajaan perlu telus dan tegas untuk menyatakan pendirian mereka sama ada perkahwinan di selatan Thailand adalah sah atau tidak dari segi undang- undang perkahwinan di Malaysia.
Kementerian Dalam Negeri atau Jabatan Agama Negeri perlu mengambil inisiatif agar penetapan taraf sah laku sijil-sijil nikah di Thailand adalah sahih atau sebaliknya. Ia bertujuan mengelak rakyat tempatan daripada terus tertipu dengan sijil perkahwinan palsu yang dikeluarkan oleh ejen-ejen perkahwinan palsu dari negara tersebut yang ingin mengaut keuntungan semata-mata.
Kerajaan perlu menyatakan secara hitam putih, agensi-agensi yang berwajib perlu dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan perkahwinan secara sah. Ini kerana sudah ramai rakyat di negara ini yang tertipu dengan sijil-sijil yang tidak sah dan terpaksa mendaftar semula di jabatan agama di negara ini setelah selesai berkahwin di Thailand.
OUI SAL
Tanah Merah, Kelantan