SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN Malaysia terkenal sebagai negara yang memiliki kos terendah bagi menjalankan perniagaan di Asia Tenggara, landskap politik negara yang tidak menentu menghalang syarikat teknologi besar untuk membina ibu pejabat serantau di negara ini.
Contohnya, Apple dan Samsung memilih Vietnam untuk kilang pembuatannya manakala Amazon akan membina tiga pusat data di Jawa Barat, Indonesia pada akhir 2021 dan awal 2022.
Walaupun kenderaan generasi baharu (NxGV), kenderaan hubung kait automatik dan berautonomi (AACV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV) termasuk dalam Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, banyak syarikat automotif berhenti melabur dalam projek berkenaan kerana kurang sokongan daripada kerajaan yang sedang menghadapi kemelut politik.
Sementara itu, komitmen pemerintah Indonesia dalam mempromosikan kenderaan elektrik menyebabkan Hyundai memutuskan memindahkan ibu pejabat Asia Pasifik dan pusat latihannya dari Malaysia ke Indonesia selewat-lewatnya penghujung tahun ini. Ini adalah contoh terbaharu.
Sebelum ini, penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab yang diasaskan rakyat Malaysia, memindahkan ibu pejabat mereka ke Singapura kerana ekosistem syarikat pemula yang lebih mapan di republik itu berbanding negara ini.
Situasi ini menunjukkan kemelut politik secara berterusan memberikan impak negatif terhadap pelaburan.
JAMARI MOHTAR & AMANDA YEO
Penyelidik di EMIR Research