SAUDARA PENGARANG,
SAYA teruja membaca laporan muka depan Utusan Malaysia baru-baru ini yang menyentuh mengenai penggunaan bahasa rojak yang semakin berleluasa sekarang. Fenomena itu saya gelarkan sebagai bahasa Melayu baharu.
Saya pernah menulis tentang penggunaan bahasa rojak dalam rancangan realiti di semua stesen televisyen di Malaysia yang mencerminkan keadaan bahasa Melayu semakin parah sekarang.
Sebagai pemerhati, saya juga takut melihat keadaan sedemikian yang selalu juga disuarakan oleh pejuang bahasa.
Penggunaan bahasa rojak telah meresap luas dalam kalangan kita terutama orang Melayu sendiri termasuk penduduk kampung, penceramah agama, pegawai kerajaan dan swasta, guru, pensyarah, Gen Y serta orang politik. Misalnya, kenduri bertemakan Melayu tetapi masih menggunakan bahasa Melayu disulam bahasa Inggeris dalam setiap perjalanan upacara majlis.
Nampaknya kita telah lupa, penggunaan bahasa terbahagi kepada dua iaitu bahasa rasmi dan bahasa pasar. Masalahnya, kebanyakan rakyat tidak dapat membezakan antara kedua-duanya.
Semua warganegara harus menggunakan bahasa Melayu rasmi dalam rancangan radio, televisyen, majlis kerajaan atau swasta dan dalam semua wawancara. Kawalan awal boleh dibuat jika penganjur majlis dan penerbit rancangan televisyen atau radio menggunakan ‘kuasa’ mensyaratkan program terbabit menggunakan bahasa yang betul.
Sesi temu ramah menggunakan bahasa rojak perlu disunting agar hanya bahasa Melayu disiarkan. Proses ini akan membiasakan semua pihak supaya tahu mana yang rasmi dan mana bahasa pasar!
Prinsip yang harus dipegang oleh semua pihak adalah bahasa Melayu rasmi perlu digunakan dalam semua majlis, manakala bahasa pasar atau bahasa rojak harus dielakkan dalam semua keadaan kecuali di kedai kopi.
Isu ini sudah lama berlegar tetapi nampaknya tiada sesiapa yang berani bertindak termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia sendiri. Kementerian itu perlu memulakan langkah dengan mewujudkan garis panduan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Mungkin kelas bahasa Melayu di televisyen dan radio perlu dimulakan semula agar rakyat dibiasakan dengan penggunaan tatabahasa betul.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh diajak bersama dan perlu lebih aktif untuk membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa. Mungkin dalam modul pengajaran, rakyat harus diingat, kebiasaan menggunakan bahasa Melayu ringkas dalam penghantaran mesej dan media sosial telah memberi kesan buruk apabila ia turut digunakan dalam penulisan rasmi kerana sudah biasa.
Kebiasaan yang tidak terkawal inilah yang memesongkan penggunaan yang betul.
Buat permulaan, ayuh Radio Televisyen Malaysia (RTM), mulakan langkah dengan membiasakan rakyat menggunakan perkataan ‘jadi’ bagi menggantikan perkataan so yang sudah menjadi bahasa Melayu baharu sekarang.
Permulaan ini akan menjadi petunjuk sama ada kita berhasil memurnikan bahasa Melayu yang digunakan atau tidak. Inilah jati diri kita yang masih ada dan perlu diperbetulkan semula.
BADRUDDIN
Petaling Jaya