SAUDARA PENGARANG,
CTOS adalah antara agensi menguruskan pelaporan kredit seseorang peminjam yang didaftarkan di bawah bidang kuasa Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010.
Maklumat yang diperoleh adalah dari pelbagai sumber, misalnya Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). CTOS memaparkan situasi kredit seseorang yang pernah membuat pinjaman atau pembelian dengan pelbagai agensi berkaitan.
Namun, saya mendapati ada kes maklumat terbaharu tidak dipaparkan dan skor kredit yang sangat rendah masih dikekalkan walaupun segala tunggakan telah lama dijelaskan. Akibatnya, peminjam gagal mendapat kelulusan pinjaman baharu.
Oleh sebab itu, saya ingin mengesyorkan kerajaan memantau ketat agensi pelaporan kredit berkenaan bagi memastikan pelanggan mendapat hasil setimpal daripada bayaran caj tinggi setiap kali mahu mendapatkan salinan laporan.
Saya sendiri terpaksa beberapa kali menghubungi CTOS memaklumkan hal ini dan agensi itu memberikan alasan bukan tanggungjawab mereka untuk mengemas kini maklumat kerana ia di bawah bidang kuasa pihak yang menyenaraihitamkan peminjam.
Justeru, saya berpandangan sudah sampai masanya CCRIS sahaja yang dijadikan rujukan. Lakukan sesuatu bagi mengurangkan beban peminjam seperti saya yang sekarang semakin tertekan dengan kos sara hidup tinggi.
IBNU AHMAD
Ipoh,Perak