Bodek - Utusan Malaysia

Bodek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerpen

karya Mirza Danish

Berdepan dengan rakan sekerja yang kaki bodek sememangnya menyeksakan. Jika tidak mengganggu periuk nasi tidak apalah. Tetapi periuk nasi Khairi telah diganggu sama sekali. Mata Khairi sekalipun tidak dialihkan pada eksekutif kanan, Yee Sap Kwat sedari tadi.
Sap Kwat sering berbual sesuatu bersama Pengurus Jepun, Muratmasu. Tangan Sap Kwat kejap-kejap diangkat ke kiri dan ke kanan.
Prestasi kerja Khairi memuaskan. Anugerah pekerja cemerlang setiap bulan sudah tentulah Khairi orangnya. Pangkat dan kualiti kerja sama hebat.
Bermula sebagai seorang operator pengeluaran yang begitu komited dengan kualiti kerja, Khairi berjaya memecahkan benteng bahawa kelayakan akademik bukanlah penentu untuk menjawat jawatan tinggi seperti eksekutif. Dia pernah dihantar untuk latihan pengurusan di Hokkaido, Jepun.
Hampir 15 tahun Khairi bekerja di kilang peralatan elektrik. Pembuatan kipas angin dari barang elektronik mentah serta proses pembuatan dari awal hingga akhir sudah dikuasai Khairi.
Sebut sahaja spesifikasi kipas angin pastinya Khairi boleh sebut satu persatu.
Dari stator, pemasangan wayar, pematerian, pemasangan skru, tetapan motor sehinggalah ke bahagian pembungkusan semuanya dikuasai Khairi.
Sap Kwat baru sahaja dinaikkan pangkat sebagai eksekutif kanan. Setaraf dengan Khairi.
Penampilan dan perwatakan Sap Kwat yang bersahaja kadangkala menjengkelkan Khairi. Dia tidak serius dalam kerjanya. Kadangkala Khairi nampak juga Sap Kwat menghabiskan masa kerjanya di ruang merokok bersama bos Jepun. Entah apa yang dibincangkan tidak tahulah.
“Hoi, mengelamun apa tu?” mejanya ditepuk Wan, mengejutkan lamunan Khairi.
“Tak adalah, aku tengok Sap Kwat tu. Lain macam saja…”
“Dia nak cantas pangkat kau itu. Tengok muka pun dah tahu.” “Betulkah kau ini, jangan main cakap saja. Tak bagus tuduh-tuduh orang ni!”
“Apa pula nak tuduh-tuduh. Dia bukannya sebangsa dengan kita, dah tentulah dia nak jatuhkan kita!”
Bersungguh-sungguh Wan mempertahankan kenyataannya itu. Bodek, itu sahajalah perkataan yang keluar daripada mulut Wan.
Kalau boleh Khairi mahu menjadikan persaingan kerja sebagai satu cara untuk dirinya meningkatkan kebolehan kerjanya. Dia tidak suka bermusuhan di dalam tempat kerja. Wan lebih banyak mempengaruhinya untuk membenci Sap Kwat.
Ya, dia semakin membenci Sap Kwat setelah mendengar kata-kata Wan.
Masing-masing sibuk menyiapkan laporan untuk audit tahunan kilang yang akan berlangsung berbaki seminggu saja lagi.
Audit tahunan kilang sangat penting demi mencapai tahap dan gred syarikat.
Setiap pengurus cawangan kilang takut akan audit ini, jika gagal maka prestasi kilang akan jatuh. Akibatnya, bonus tahunan akan ditolak. Kenaikan pangkat juga akan tertangguh jika prestasi kilang jatuh.
Maka, berpusu-pusulah pengurus syarikat mengarahkan anak-anak buah mereka untuk menyiapkan laporan.
Sap Kwat ada caranya sendiri. Setiap data sedia ada diubah sepenuhnya. Menurut kata Wan, dia lihat dengan mata kepalanya sendiri bahawa data syarikat telah diubah.
Data syarikat tidak boleh diubah, itu polisi syarikat. Khairi hanya mengangguk mendengar kata-kata Wan.
“Wan, berapa lama kau kerja sini?”
“Lebih kurang kau je. Adalah dalam 15 tahun macam tu.”
“Samalah kita. Tapi, aku naik pangkat dulu daripada kau.”
“Ala, tak payahlah cerita pasal pangkat. Kalau boleh aku nak kau jadi bos aku. Nak harapkan Sap Kwat tu… Kau fikirlah sendiri, dia itu bangsa lain. Mana boleh dia jadi bos kita!”
Khairi tahu Wan sememangnya mahukan dirinya menjadi bos. Pemimpin yang baik mestilah datang dari bangsa sendiri, itu yang sering dilaungkan oleh Wan setiap kali mereka berbincang perihal kerja. Pangkat memainkan peranan yang besar buat dirinya.
“Eh, seorang saja?” tegur Mutazar, penolong pengurus. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Khairi.
“Tak adalah. Ini Wan sebelah aku. Amboi, baru dapat elaun lebih sikit mulalah pura-pura tak nampak kawan.” Ujar Khairi.
Wajah Mutazar bertukar pucat. Dia membisikkan sesuatu kepada Khairi.
“Malam ini kita ada mesyuarat tergempar. Dengar cerita, akan ada yang dibuang kerja dan ada yang akan dinaikkan pangkat!”
“Macam mana kau dengar semua cerita ini, Mutazar?”
“Biasalah, nama pun penolong pengurus. Mestilah semua benda aku tahu.
“Apa pun, aku harapkan kau cepat sihatlah. Lama sangat kau tak ambil cuti ni.”
Khairi menepuk bahu Mutazar. “Tak adalah, aku sihat saja. Lagipun, Wan yang patut ambil cuti. Betul tak, Wan?” Wan hanya tersengih-sengih sahaja.
Mutazar kemudiannya beredar sambil membuat wajah yang pelik.
Malam itu, pihak pengurusan terpaksa kerja lebih masa demi menyiapkan laporan audit.
Setiap data yang ada tunggang terbalik. Satu persatu cuba dibetulkan namun hasilnya menemui jalan buntu.
Khairi keras membantu sambil menggaru-garu kepalanya menyiapkan laporan untuk dibentangkan pada esok hari.
Mata Khairi memandang ke meja kerja Wan. Dia tiada di mejanya.
“Tak guna betul. Dia ajak aku buat kerja sekali, alih-alih dia hilang dulu!” papan kekunci ditekan kuat berkali-kali.
Siang tadi, bukan main Wan beriya-iya untuk balik lewat bersama Khairi.
Katanya, dia akan membantu Khairi menyiapkan laporan. Tetapi, biasalah janji tinggal janji sahaja.
“Semua pihak pengurusan diminta mesyuarat sekarang!” jerit Mutazar.
“Apa pula nak kena mesyuarat malam-malam buta ini?”
Pintu bilik mesyuarat dibuka. Kelihatan beberapa orang bos Jepun sedang duduk sambil membincangkan perkara yang Khairi sendiri tidak faham.
Tapi telinganya jelas menangkap perkataan ‘masalah’ dan juga ‘berhenti’.
Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Yee Sap Kwat.
Mesyuarat dimulakan tentang masalah gerak kerja pengurusan yang terlampau lembab.
Mutazar tersengih-sengih melihat Khairi. Mutazar membisikkan sesuatu ke telinga Khairi. Ini pasti gosip, fikir Khairi.
“Data itu tak dapat diubah lagi. Habislah kita, tak dapat bonus tahunan kali ini.”
Bonus. Agak lama Khairi tidak mendengarkan perkataan tersebut. Sap Kwat menghela nafas panjang melihat wajah Muratmasu yang sugul.
Tanpa berfikir panjang Khairi bingkas bangun dan membuka bicara. Malam ini, biarlah menjadi malam terakhir untuk dia melepaskan segala keresahan.
“Kita perlu telus dalam melaksanakan kerja kita. Bukannya membodek!”
Mutazar menutup mulutnya. Matanya sudah berair ketika mendengar kata-kata Khairi.
Senyap menyelubungi seluruh bilik mesyuarat. Setiap mata memandang tepat ke arah Khairi. Termasuklah Sap Kwat dan juga Muratmasu.
Terpinga Muratmasu cuba menangkap kata-kata Khairi.
“Saya dah lama tahan sabar, ini kerja pun buat last minute. Macam mana kita nak bangunkan kilang ini? Nak suruh orang produktif, tapi menekan pekerja sampai hilang jiwa!”
Mutazar menarik lengan baju Khairi beberapa kali. Dia sudah dirasuk syaitan!
Meja ditepuk berulang kali. Sap Kwat memotong kata-kata Khairi.
“Saya cerita sini, habis sinilah ya. Kami sebenarnya berbincang untuk naikkan awak pangkat sebagai pengurus.
“Beberapa pekerja asing kita akan buang dan ambil pekerja tempatan.”
Mulut Khairi ternganga.
“Tambahan pula, Wan pun baru sahaja meninggal dunia lima hari lepas.
“Kerja dia banyak tertunggak. Jadi, kami fikir awak lebih layak menggantikan Wan.” Ujar Sap Kwat sambil menggeleng.
Khairi ternganga sekali lagi dengan lebih luas. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya