SAUDARA PENGARANG
SAMSU ialah minuman keras yang murah dan diambil secara meluas oleh golongan muda dan tua. Kajian oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini mendapati, samsu yang suatu ketika dulu pernah menjadi ketagihan dalam kalangan penduduk estet dan kampung kini turut diambil penduduk bandar terutama pekerja asing.
Kandungan alkohol dalam samsu yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit adalah antara 17 hingga 48 peratus.
Kanak-kanak seawal usia 12 tahun turut mengambil samsu dan kajian CAP menunjukkan, kebanyakan mereka yang tercicir daripada persekolahan mudah terlibat dengan ketagihannya.
Fenomena penjualan berleluasa alkohol di kedai runcit, kedai kopi dan pasar raya memudahkan remaja memperoleh minuman beralkohol ini. Walaupun cukai ke atas minuman beralkohol dinaikkan dari tahun ke tahun, namun harganya masih mampu dibeli oleh kebanyakan orang khususnya remaja.
Beratus-ratus jenis jenama samsu terdapat di pasaran. Minuman keras ini menjadi popular disebabkan harga murah dan mudah didapati. Membeli samsu adalah semudah membeli gula-gula di kedai runcit. Sesiapapun termasuk kanak-kanak boleh membelinya tanpa sebarang halangan.
Harga sebotol samsu 150 mililiter adalah antara RM3 hingga RM5 menyebabkannya mudah diperolehi oleh kanak-kanak.
Di bawah Seksyen 32(1) dan 33(1) Akta Eksais 1976, lesen diperlukan untuk menjual samsu. Namun, memandangkan permintaan terhadap samsu yang tinggi, ada penjual tidak memohon lesen untuk menjualnya.
Oleh itu, Akta Eksais 1976 dan Akta Pembasmian Samsu Haram 1976 perlu dikuatkuasakan secara tegas untuk mengawal penjualan samsu haram dan peniaga tidak berlesen ini perlu ditahan dan didakwa di mahkamah.
NV SUBBAROW
Pegawai Pendidikan
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)