SAUDARA PENGARANG,
SAYA amat tertarik dengan laporan berita tentang sebuah lapangan terbang baharu di Betong, Thailand. Betong ialah bandar bersempadan dengan Kedah.
Begitu hebat dan cekap Thailand menguruskan ekonomi mereka. Di sebalik tunjuk perasaan jalanan di Bangkok dan kemelut Covid-19, mereka berjaya membina lapangan terbang di Betong.
Namun, malang buat kami di Kuala Linggi, Melaka. Kami menunggu seperti buah yang tidak gugur. Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) yang diumumkan sejak 2016 sehingga sekarang masih belum nampak kelibat bayang lagi.
Apakah kita tiada kepakaran atau kerenah birokrasi yang sengaja diada-adakan bagi merumitkan pembangunan projek baharu di negara ini?
Tidak cerdikkah pemimpin yang ada sekarang? Siang malam asyik mencatur siapa hendak menjadi Perdana Menteri, tidak habis-habis. Rakyat sudah loya dan meluat dengan pemimpin seperti ini.
Hendak tunggu Terusan Kra di Thailand dibina, baharu projek KLIP akan dimulakan?
Sampai kiamat pun Malaysia tidak akan mampu bersaing secara kompetitif dengan negara jiran, Thailand apatah lagi Singapura. Lupakan angan-angan Malaysia hendak muncul sebagai Harimau Asia. Nak jadi Kucing Asia pun belum pasti.
Berubahlah wahai pemimpin-pemimpinku, berubahlah wahai pihak berkuasa demi kelangsungan ekonomi, demi masa depan Malaysia yang kita cintai. Malaysia tetap berjaya.
MRFA RAHMAN
Melaka